Tuesday, May 19, 2009

Apakah Bezanya keimanan kita dengan bukan Muslim?



Pasti ada Pencipta yang berhak disembah tanpa sekutu




Pernah saya ditanya oleh seorang rakan bukan muslim suatu bentuk soalan yang berkaitan dengan konsep ketuhanan.Beliau yang seorang bukan muslim bertanyakan kepada saya apakah mungkin Tuhan yang Mencipta kita berada di angkasa lepas.Disebabkan itu merupakan soalan pertama dari seorang bukan muslim mengenai Tuhan maka saya agak terkejut dan menjawab bahawa saya tidak tahu.Saya percaya ramai yang akan mengatakan itu bukan suatu jawapan yang tepat dalam konteks dakwah,sehingga kini saya juga beranggapan itu bukan jawapan yang sepatutnya.



Rubbubiyah



Lupakan jawapan yang teruk terhadap bukan muslim tersebut.Hasil dari pertanyaan bukan muslim tersebut membuatkan saya terfikir bahawa bukan muslim juga percaya akan Kewujudan Tuhan yang Maha Mencipta dan Maha Memiliki.Jika diteliti didalam al-Quran juga menyatakan perkara yang sama.

Firman Allah SWT yang bermaksud:



Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayaNya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri".

(Az-Zumar:38)



Dan jika ditanya siapakah yang memberi rezeki pasti mereka akan menjawab Allah yang memberi rezeki,ini seperti di dalam firmanNya yang bermaksud:



Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): "Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? "(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: "Allah jualah yang menguasai segala-galanya! "Oleh itu, katakanlah: "(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?

(Yunus:31)



Juga di dalam surah Az-Zukhruf Allah berfirman yang bermaksud:



Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?

(Az-Zukhruf:87)



Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik).

(Al-'Ankabuut:63)



Banyak sekali bukti dari al-Quran yang menunjukkan golongan bukan muslim juga percaya kepada kewujudan Allah yang Maha Mencipta,Maha Memiliki dan Maha Mentadbir,bahkan bagi mereka segala-galanya dikuasai Allah.Kenyataan ini selari dengan Firman Allah SWT yang bermaksud:




Tanyakanlah (wahai Muhammad): "Kepunyaan siapakah bumi ini dan segala yang ada padanya, kalau kamu mengetahui?" Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah". Katakanlah: "Mengapa kamu tidak mahu ingat (dan insaf)?" Tanyakanlah lagi: "Siapakah Tuhan yang memiliki dan mentadbirkan langit yang tujuh, dan Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar?" Mereka akan menjawab: "(Semuanya) kepunyaan Allah".Katakanlah:"Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?" Tanyakanlah lagi: Siapakah yang memegang kuasa pemerintahan tiap-tiap sesuatu, serta ia dapat melindungi (segala-galanya) dan tidak ada sesuatupun yang dapat disembunyi daripada kekuasaannya?(Jawablah) jika kamu mengetahui!" Mereka akan menjawab: "(Segala-galanya) dikuasai Allah". Katakanlah: "Jika demikian, bagaimana kamu tertarik hati kepada perkara yang tidak benar?"

(Al-Mu'minuun:84-89)



Walaupun demikian masih terdapat sesetengah golongan yang cuba menafikan kewujudan Allah SWT yang Maha Mencipta seperti puak atheis,puak yang memuja teori Darwin dan lain-lain lagi.Ini semata-mata kerana kesombongan mereka,sedangkan jauh di sudut hati masih terbungkam kepercayaan tentang adanya Allah yang Maha Mencipta.Ini diterangkan oleh Allah SWT di dalam FirmanNya yang bermaksud:



Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan.

(An-Naml:14)



Dan juga di dalam FirmanNya yang bermaksud:



(Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri? Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (Sudah tentu tidak!) Bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya).

(At-Tuur:35-36)



Nas-nas al-Quran tersebut mengukuhkan lagi bahawa bukan muslim juga percaya kepada kewujudan Allah SWT.Mereka juga percaya Allah yang mencipta dan memiliki seluruh alam ini.Oleh itu jika sekadar percaya Allah SWT Maha Mencipta dan Memiliki masih belum membezakan kita dengan bukan muslim.Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan sekadar kepercayaan seperti ini masih belum membezakan antara kita dengan Iblis.Ini seperti yang terdapat di dalam Firman Allah SWT yang bermaksud :



Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah."

(Al-A'raaf:12)



Iblis juga percaya Allah Maha Mencipta dan Maha Memiliki seperti kejadiannya dan Adam a.s. juga adalah dari ciptaan Allah SWT.Oleh itu apakah yang membezakan Islam yang kita anuti dengan mereka.



Asma’ & Sifat



Di dalam Islam kita mengakui dan percaya nama dan sifat Allah SWT secara menyeluruh seperti yang terdapat di dalam al-Quran dan sunnah nabi Muhammad SAW.Sekali lagi Non Muslim juga percaya bahawa Tuhan itu Maha Kuasa,Maha Mencipta dan lain-lain.Seperti yang dinyatakan oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang.



“Tauhid asma’ dan sifat sahaja tidak memadai bagi membuktikan keislaman dengan hanya menyatakannya.Seorang Muslim wajib melaksanakan segalan tuntutan yang terkandung dalam maksud tauhid rububiyyah dan uluhiyyah.Ini disebabkan, ada dikalangan orang kafir juga mengakui beberapa sifat dan nama Allah, tetapibukan dengan cara yang sebenar.Contohnya, mereka mengakui beberapa nama Allah dan menafikan nama ar-rahman(pemurah), mereka berkata,”kami tidak mengenal ar-rahman(pemurah) melainkan rahman di yamamah sahaja.” Lalu Allah menurunkan ayatnya dalam surah ar-Ra’d ayat 30 yang bermaksud:



Demikianlah, Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) kepada satu umat yang telah lalu sebelumnya beberapa umat yang lain, supaya engkau membacakan kepada mereka Al-Quran yang Kami wahyukan kepadamu, sedang mereka kufur kepada (Allah) Ar-Rahman Katakanlah: "Dia lah Tuhanku, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah tempat kembaliku (dan kamu semuanya)".

(Ar-Ra’d:30)



Mereka juga menghafal syair,”Maka janganlah kamu menyembunyikan daripada Allah apa yang ada dalam diri kamu supaya ia tersembunyi.Walau bagaimana ia disembunyikan,Allah pasti mengetahui.”

Mereka mengakui beberapa nama dan sifat Allah tetapi mereka ingkarkan nama ar-rahman dengan makna yang sebenar.Begitu juga dengan sifat-sifat Allah.Malah kadang-kadang mereka mengada-adakan sifat yang tidak layak bagi Allah.”

(Abdul Hadi Awang/Beriman Kepada Allah/ms:8-9)



Oleh itu jangan kita berasa sudah memadai dengan sekadar mengakui wujud Allah sebagai pencipta,pemilik dan pentadbir alam ini,kerana sekadar percaya kepada Allah sebagai pencipta,pemilik dan pentadbir alam ini dan juga menerima Allah itu ar-Rahman dan lain-lain masih belum memadai dan masih belum membezakan keimanan kita dengan golongan Bukan Muslim.



Apakah Semua Agama Sama



Apakah semua agama itu sama,mengapa keimanan kepada Allah seperti yang dibincangkan masih belum membezakan kita dengan bukan muslim.Jika semua agama itu sama mengapa perlu Allah SWT mengutuskan rasul sepanjang zaman.



Uluhiyyah



Sesungguhnya harus difahami bahawa Asas yang membezakan antara agama Islam dan agama lain ialah Pengesaan terhadap Allah dalam segala jenis ibadat.Sesungguhnya Allah sahajalah yang berhak diabadikan dan tidak ada sekutu bagiNya.Inilah tauhid yang terkandung didalam al-Quran yang saban hari diulang sebanyak 17kali bacaannya di dalam solat,seperti di dalam Firman Allah yang bermaksud:



Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

(Al- Faatihah:5)



Juga di jelaskan lagi di dalam FirmanNya yang bermaksud:



Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi dan kepadaNyalah dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepadaNya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.

(Hud:123)



Apa yang jelas membezakan Islam dengan agama lain ialah Islam sama sekali tidak bertoleransi dengan syirik kerana jelas di dalam Islam hanya Allah sahaja yang berhak diabadikan,diibadati dengan ibadat yang ikhlas,zahir dan batin tanpa sekutu bagiNya.



Firman Allah SWT yang bermaksud:



Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.

(An-Nisaa':116)



Dan lagi FirmanNya yang bermaksud:



Yang demikian itu ialah petunjuk Allah, yang dengannya Ia memimpin sesiapa yang dihendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kalau mereka sekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain) nescaya gugurlah dari mereka, apa yang mereka telah lakukan (dari amal-amal yang baik).

(Al-An'aam:88)



Juga di dalam Firman Allah SWT yang bermaksud:



Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: "Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.

(Az-Zumar:65)



Dan inilah yang menjadi kewajipan bagi sekalian makhluk ciptaan Allah SWT seperti di dalam firmanNya yang bermaksud:



Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;

(An-Nisaa':36)



Dan juga seperti di dalam Firman Allah SWT yang bermaksud:



Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).



(Al-Israa':23)



Dengan jelas diberitakan oleh Rasulullah SAW bahawa Tauhid uluhiyyah ini yang membezakan golongan yang mengesakan Allah dan golongan musyrikin.Tauhid ini juga yang menjadi ukuran masuknya seseorang itu ke dalam syurga atau pun neraka.Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang bertemu dengan Allah tanpa mensyiikkanNya dengan sesuatu,dia masuk ke syurga dan sesiapa yang bertemuNya dan mensyirikkanNya dengan sesuatu,dia masuk ke neraka.”

(Hadis Riwayat Muslim)



Dengan tujuan menyampaikan tauhid ini jugalah diutuskan rasul-rasul dan kitab-kitab di setiap zaman.Tidaklah Allah SWT mengutuskan setiap rasul itu sia-sia,sebaliknya diutuskan setiap rasul bagi menyampaikan dakwah kepada tauhid yang suci iaitu tauhid uluhiyyah.

Firman Allah SWT yang bermaksud:



Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.

(Al-Nahl:36)



Dan di dalam FirmanNya yang bermaksud:



Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: "Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKu".

(Al-Anbiyaa':25)



Seperti yang di wahyukan kepada Rasulullah SAW dalam al-Quran yang bermaksud:

Katakanlah lagi (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya;

(Az-Zumar:11)



Kesimpulannya amat jelas sekali apa yang membezakan Islam dan agama lain pada asasnya ialah di dalam pengesaan mutlak terhadap Allah tanpa sekutu yang disebut sebagai tauhid uluhiyyah.Dan tauhid ini juga yang menjadi ukuran sama ada kita ini layak menghuni syurga atau pun neraka.Tauhid ini sekali gus melengkapkan ketiga-tiga tauhid iaitu Tauhid Rububiyah,Tauhid Asma Dan sifat serta Tauhid uluhiyyah.Tidak ada di dalam mana-mana agama yang mengandungi konsep pengesaan atau pun pengabdian mutlak semata-mata kepada Allah tanpa sekutu bagiNya melainkan Islam sahaja.

Wallahu’alam.



Rujukan:

1.Abdul Hadi Awang,Beriman Kepada Allah,Terbitan PTS Publications&distributors SDN BHD


2.Dr Abdullah Yasin,Aqidah Ahl Al Sunnah Wa Al Jama’ah jilid 1,Terbitan Al-Furqan Enterprise


3.Dr Shalih Bin Fauzan Bin Abdullah al-Fauzan,At-Tauhid lish Shaffil awwal al-ali edise terjemahan kitab tauhid,Terbitan Darul Haq,Jakarta.


4.Ismail Omar,Manhaj Aqidah Ahli As- Sunnah Wal Jamaah,Terbitan Access Infotech (M) SDN BHD.




Ibn Yaacob

Ampang,Selangor.
19 Mei 2009 / 24 Jamadil Awwal 1430

http://www.ibnyaacob.blogspot.com/


Saturday, May 09, 2009

Kemelut Perak: Antara Gila Merebut Kuasa & Penyelesaian


Isu di Perak kini dilihat seolah-olah tidak berkesudahan,masing-masing dilihat tidak mahu mengalah.


Sivakumar:bagi PR beliau speaker yang SAH,bagi BN beliau speaker yang tidak SAH



jika kita bertanya kepada pihak PR,sudah pasti mereka berkata"kami dipihak yang benar!"

begitu juga jika ditanya kepada pihak BN,sudah pasti jawapan yang sama iaitu "kami dipihak yang benar!"

jadi apakah penyelesaian untuk isu ini?bagaimana pula sikap kita untuk menilai isu yang panas ini?




Sivakumar terus menjadi 'rebutan'



SIKAP DALAM MENILAI SESUATU ISU


sesetengah orang sebelum menilai sesuatu isu,beliau terlebih dahulu telah menyediakan keputusan bagi penilaian yang AKAN dilakukan.Ini melambangkan sikap tidak jujur dan tidak adil terhadap diri sendiri.kita perlu adil dalam apa jua penilaian yang hendak dilakukan,baik dari isu (Pakatan Rakyat) vs. (Barisan Nasional).isu (wahhabi/kaum muda/salafi) vs. (tradisional/kaum tua/khalafi) dan juga adil didalam apa jua isu yang dihadapi yang memerlukan penilaian.


Akhirnya



apa pun langkah yang diambil,eloklah ayat al-quran
ini dijadikan Prinsip buat kita semua:

surah al-Maa’idah : 8



Maksudnya :

“Dan jangan sekali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil(kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

Dan hadis Nabi SAW diriwayatkan oleh Bukhari maksudnya,

“Sekiranya(anakku) Fatimah mencuri nescaya aku akan memotong tangannya”.


TERTANYA-TANYA


Saya masih tertanya-tanya.mengapa tidak saja dibubarkan DUN?seandainya diadakan pilihanraya baru,jika PR menang,BN harus akur,begitu juga jika BN menang,PR juga harus akur.

Ada yang mengatakan adalah menjadi pembaziran untuk dibubarkan DUN dan diadakan pilihanraya semula.Agak sukar untuk diterima alasan untuk mengelakkan pembaziran dalam isu yang penting seperti isu di Perak.Mengapa dalam isu penting seperti ini pula alasan pembaziran yang diberikan,walhal dalam isu lain yang lebih kurang pentingnya pembaziran masih berleluasa.

fikir-fikirkan dengan ADIL..


Ibn Yaacob
Ampang,Selangor.
09 Mei 2009 / 14 Jamadil Awwal 1430

http://www.ibnyaacob.blogspot.com/

Monday, April 27, 2009

Amalan Terbalik




KEGUGURAN


“Ring..ring..”muzik dari nada dering handsetku berbunyi.


“Assalammualaikum “ aku memulakan bicara.


“Wa'laikumussalam” balas Abdullah bukan nama sebenar.


Abdullah baru sahaja berhenti kerja dari tempat aku bekerja kerana mendapat tawaran bekerja ditempat lain yang lebih menarik bagi beliau.


“kau apa khabar?”Tanya aku cuba meneka hajat Abdullah menelefon.


“aku ok je”balas Abdullah sambil diam seketika dan kembali menyambung kata-kata.


“isteri aku gugur(keguguran kandungan)” luah Abdullah.


“Innalillahi…..” balas aku terkejut.


Sebenarnya sebelum ini aku pernah berdiskusi dengan Abdullah berkenaan isu fiqh,ternyata pendapat fiqh yang beliau pegang berbeza sekali denganku.Sehinggakan beliau menuduh tokoh yang aku ambil pendapat sebagai pembawa fahaman kaum Muda.

Alhamdulillah perbezaan fiqh yang amat ketara tidak sekali menjejaskan hubungan persaudaraan diantara kami.Jesteru aku amat tidak bersetuju jika ada yang mengatakan perbincangan isu khilaf membawa kepada perpecahan.Kembali kepada kisah aku dan Abdullah,kebetullan hari tersebut aku cuti.


“Ko dekat mana sekarang ni?” aku mula terfikir untuk menzirahi beliau kerana aku terbayangkan hadis Rasulullah SAW:





اصنعوا لآل جعفر طعاما فإنه قد أتاهم أمر شغلهم
“Buatlah makanan untuk keluarga Ja’far. Sesungguhnya mereka tengah ditimpa musibah yang menyibukkan mereka” (HR. Abu Dawud nombor 3132, At-Tirmidzi nombor 998, Ibnu Majah nombor 1610, dan lain-lain; shahih lighairihi).


Daripada hadis ini apa yang aku faham Abdullah juga dilanda musibah,wajar sekali untuk aku membantu beliau dengan cara yang termampu.Jika zahir hadis di seru untuk meyediakan makanan,jadi aku bantu dengan berusaha menderma dan juga menziarah serta memberi kata-kata semangat.Tidak lupa juga aku dan rakan sekerja yang lain mengutip derma untuk Abdullah.


Cuba bayangkan Abdullah yang dilanda musibah dan ditambah kesedihan yang menimpa beliau sekeluarga,tiba-tiba aku pergi menemuinya dan menyuruh beliau belanja aku KFC.


Mungkin akan ada yang berkata aku ini kejam tidak berhati perut,mana tidaknya sudahla beliau masih sedih dengan musibah yang menimpa,ada kawan seperti aku bukan nak membantu tapi menambahkan lagi beban dibahu beliau.



SUNNAH MASYARAKAT VS SUNNAH NABI SAW





Jangan terkejut jika dikatakan sebenarnya ini yang banyak dan kerap berlaku di dalam masyarakat kita.Jika ada sahaja kematian pasti sesetengah pihak akan menuntut dengan kenduri arwah.


“enta tak sayang jenazah ka?kenapa tak buat kenduri tahlil?”


“ini malam ke berapa arwah dah pergi? Takkan takde buat apa-apa(makan free)?”


Begitulah amalan yang menjadi Sunnah Masyarakat yang mana jika diperhatikan amat bertentangan dengan Sunnah Nabi SAW dan juga amat bertentangan dengan fitrah manusia.


Hadis diatas jika dirujuk kepada kitab bahrul mazi karya syeikh idris al marbawi(ulama Nusantara) menceritakan kisah Jaafar yang terbunuh di medan peperangan.


Jadi daripada hadis ini apa yang berlaku dizaman Nabi SAW adalah Baginda SAW menyeru:


اصنعوا لآل جعفر طعاما فإنه قد أتاهم أمر شغلهم
“Buatlah makanan untuk keluarga Ja’far. Sesungguhnya mereka tengah ditimpa musibah yang menyibukkan mereka” (HR. Abu Dawud nombor 3132, At-Tirmidzi nombor 998, Ibnu Majah nombor 1610, dan lain-lain; shahih lighairihi).


Bayangkan,saudara/saudari menghadiri kenduri arwah yang berlaku dalam masyarakat kita dan tanpa disengajakan duit yang digunakan untuk kenduri arwah adalah wang simpanan si mati kepada anak-anak beliau yang sudah menjadi anak-anak yatim,ketika itu apa yang masuk ke dalam perut saudara/saudari adalah harta anak yatim!


Renungkan Firman Allah yang bermaksud:


Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.
(An-Nisaa' : 10)



Didalam isu kenduri arwah ini tidak dinafikan terdapat dua kelompok agamawan yang berbeza pendapat.Gologan pertama adalah golongan yang berpegang kepada Sunnah masyarakat,adapun golongan yang lagi satu memilih untuk berpegang kepada Sunnah Nabi SAW.


Saya tidak mampu untuk memaksa pembaca untuk memilih pendapat yang saya persetujui,tetapi saya pohon agar setiap pembaca mempunyai prinsip di dalam isu ini,apa pun pendapat yang dikemukakan hendaklah di bawakan dalil,bukti,hujah atau sandaran nasnya,jika ayat suci Al-Quran,apakah tafsir yang dirujuknya?jika ia hadis Nabi SAW,apakah status Hadis tersebut?apakah Syarah Ulama Hadis terhadap Hadis tersebut?

Bagi yang mahu mempertahankan Sunnah Masyarakat,silakan,akan tetapi renungkanlah Hadis Baginda SAW dan ayat suci Al-Quran ini.


Firman Allah SWT yang bermaksud:


Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(A-li 'Imraan:31)


Hadis Shahih Baginda SAW yang bermaksud:


“Barang siapa yang mengada-ngadakan perkara baru dalam agama kami ini apa-apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak.”


(Hadis Riwayat Bukhari&Muslim)

Juga artikel yang berkaitan dengan perbincangan kali ini:

kenduri arwah dari kaca mata sunnah

dan

amalan jahiliah disangka ajaran agama






Bagi yang ingin memanjangkan diskusi sila daftar ke forum :

siber fiqh

atau

forum fiqh





Ibn Yaacob
Ampang,Selangor.
28 April 2009 / 3 Jamadil Awwal 1430

http://www.ibnyaacob.blogspot.com/



Sunday, April 12, 2009

APAKAH BENAR PENDAPAT YANG MENYATAKAN TIDAK BOLEH DIBINCANG PERKARA KHILAF?



Ada yang mengatakan perbincangan khilaf tidak lain hanya akan menimbulkan perpecahan,adakah dakwaan ini berdasarkan fakta atau pun emosi semata?

Sesungguhnya perbincangan politik lebih memecahbelahkan masyarakat,perbezaan pendapat politik telah menyumbang kepada terhasilnya mazhab syiah, perbezaan pendapat politik juga suatu ketika dahulu menyebabkan masyarakat Negara kita menimbulkan isu takfir dan juga solat dua imam dalam satu masjid.



Didalam perbezaan pendapat fiqh,perbincangan isu khilaf yang dibincangkan dengan niat yang ikhlas dan suasana yang ilmiah serta adab khilaf yang dipatuhi tidak sedikit pun menimbulkan isu perpecahan seperti mana yang berlaku dalam suasana politik hari ini.Cuma yang mencemarkan perbincangan isu khilaf ialah sikap taksub atau fanatic sesetengah individu terhadap pendapat guru-guru meraka mahu pun pendapat fiqh mazhab anutan mereka.



Sesungguhnya peselisihan pendapat(khilaf) yang diizinkan ialah perselisihan para mujtahid dari kalangan ahli fikah,mufti dan hakim dalam masalah-masalah ijtihadi yang diizinkan berijtihad dan berselisih.Masalah tersebut ialah masalah yang tidak ada nas yang qatie.Ini apa yang disebut oleh Dr Abd Karim Zaidan di dalam buku beliau ‘ikhtilafi syariatil islamiah’






AGAMAWAN MENAKUTKAN ORANG DENGAN AGAMA



Ada sesetengah golongan agamawan yang menakut-nakutkan orang ramai yang cuba memahami agama,sehingga beralasan,ini bukan tahap kita untuk bincang-bincang bab ini.Tidak kurang juga yang mengatakan kita ini siapa untuk menafsirkan Al-Quran dengan sesuka hati?Boleh jadi beliau seorang sahaja yang memahami ilmu tafsir,beliau sahaja yang tahu merujuk kepada tafsir yang muktabar?beliau sahaja yang memahami ushul al-tafsir?



Amat malang lagi sifat mendewakan ulama sehingga meletakkan ulama pada taraf maksum sehingga pendapat ulama tidak boleh di banding dengan pendapat ulama yang lain.Kedengaran bunyi seperti:



‘ Saya amat tidak bersetuju sekiranya ada di antara sahabat-sahabat semua mempertikaikan para ulama.’



Adakah dengan membandingkan pendapat setiap ulama dan kemudian memilih pendapat yang lebih hampir kepada nas Al-Quran dan sunnah tanpa taksub kepada mana-mana pandangan mereupakan perbuatan yang dicela?



Apa yang penting di dalam menyuburkan fiqh Islam serta perbincangan khilaf ini perlu di patuhi adab-adab atau pun etike ketika berhadapan dengan isu-isu khilafiyah.Suka saya senaraikan beberapa adab di dalam membicarakan isu-isu khilaf:



1)Setiap orang mesti membersihkan diri dari Barah taksub mazhab(hukum fiqh)



2)Tidak harus merasa sempit dada dengan perbezaan pendapat mazhab(hukum fiqh).



3)Kita tidak harus memaksa orang lain menerima pendapat kita dalam isu khilaffiyah



4)Tidak harus menghina pendapat ulama yang tidak kuat hujahnya atau pun tidak selari dengan pendapat kita.




p/s:Bingkisan ini hanya suatu bingkisan terhadap isu yang ditimbulkan dalam salah satu forum yahoo group.




Ibn Yaacob
Ampang,Selangor.
12 April 2009 / 16 Rabiul akhir 1430

http://www.ibnyaacob.blogspot.com/



Thursday, April 09, 2009

Pemilik Cintaku Setelah Allah & Rasul

JELING BUKU 10 APRIL 2009





Alhamdulillah,Allah telah mengurniakan penulis ini kesempatan untuk berkarya yang mana setiap karya beliau banyak mendidik,memotivasi serta mengajak kepada sunnah Nabi SAW.Setiap novel beliau yang saya ikuti bukanlah sekadar novel biasa mahu pun novel cinta semata.Penulis pernah dinobatkan sebagai novelis sayembara mengarang novel Remaja DBP 2006.

Pemilik Cintaku Setelah Allah & Rasul

Karya terbaru penulis ini adalah buah tangan beliau selepas mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta.Jesteru itu sedikit sebanyak pengalaman beliau berjaya dikongsi bersama dalam menghidupkan watak di dalam karya beliau kali ini,malah bagi saya sendiri seolah-olah watak dalam karya beliau kali ini adalah seperti jalan hidup penulis(fatimah syarha) sendiri sehingga ke alam perkahwinan




Seperti penulisan beliau yang lalu,




penulis tidak jemu-jemu memberikan gambaran sebenar hubungan yang halal disisi Islam. Isu ‘couple’, berdating, berbalas panggilan telefon dan juga bersms dengan bukan mahram.Penulis membuat kita kembali berfikir adakah amalan masyarakat seperti bercouple itu di benarkan dalam agama? Adakah bila bertunang seolah-olah kita mendapat satu tiket kebenaran untuk lebih bebas bersama pasangan? Apakah pandangan agama terhadap berdating,berbalas panggilan telefon dan juga bersms dengan bukan mahram.Kadangkala suasana kehidupan membuatkan kita alpa dan terbiasa dengan semua ini,sedangkan bagaimana pula dengan penilaian syarak?





Penulis juga sedikit sebanyak berkongsi sunnah-sunnah dialam perkawinan di dalam karya kali ini dan juga panduan-panduan terhadap para isteri dan juga para suami serta para bakal suami isteri

Sampingan.

Watak di dalam karya ini membuatkan saya kembali teringat seorang teman yang mirip kepada watak di dalam bingkisan ini.Beliau juga sangat menjaga pergaulan dengan bukan mahram dengan mujahadah,jesteru itu teman saya itu dipelihara Allah SWT dari penganiyaan dan kezaliman, hampir sahaja beliau bertemu jodoh dengan insan yang jijik dan tidak sepatutnya dengan beliau,akan tetapi saya percaya Allah memelihara beliau dan akan memberikan yang terbaik buat teman saya,semoga Allah SWT memelihara dan memberikan beliau kebahagiaan didunia dan diakhirat kelak.

Dapatkan manfaat dari buku ini!


Fatimah Syarha Mohd Noordin

RM12.00
Telaga Biru Sdn Bhd

http://www.telagabiru.net.my


Bagi yang sukar mendapatkan buku-buku penulisan Fatimah Syarha,
Buku ini juga boleh dibeli daripada Fatimah Syarha,sila ke blog abu usamah untuk maklumat lanjut.


Ulasan:

Ibn Yaacob
Ampang,Selangor.
10 April 2009 / 14 Rabiul akhir 1430

http://www.ibnyaacob.blogspot.com/



diedit semula oleh ibnyaacob pada 28 April 2009 / 3 Jamadil Awwal 1430


Sunday, March 22, 2009

BERBALOIKAH INI SEMUA.(artikel di-ban utusan malaysia!)

NOTIS MAKLUMAN

ATAS SEBAB YANG TIDAK DAPAT DIPASTIKAN, PIHAK MINGGUAN MALAYSIA TIDAK MENYIARKAN ARTIKEL DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN PADA MINGGU INI YANG BERTAJUK: ORANG POLITIK! BERBALOIKAH INI SEMUA.

ARTIKEL INI SEBENARNYA MUSTAHAK DIBACA TERUTAMA MENJELANG PEMILIHAN DALAM PERHIMPUNAN AGONG UMNO KALI INI. DINASIHATI PARA PEMIMPIN UMNO DAN PERWAKILAN MEMBACA ARTIKEL INI SEBELUM MENERUSKAN PERJUANGAN ATAU MEMBUAT PEMILIHAN MEREKA.

PIHAK DRMAZA.COM AMAT BERDUKACITA KERANA ARTIKEL INI TIDAK DAPAT DIBACA MELALUI MINGGUAN MALAYSIA MAKA DENGAN ITU MEREKA YANG MELAYARI INTERNET TIDAK MEMPEROLEHINYA. POHON JASA BAIK PEMBACA MENGEDARKAN ARTIKEL TERSEBUT.

Sumber: http://drmaza.com/home/?p=575







Orang Politik! Berbaloikah Ini Semua

Malas rasanya hendak mengulas keserabutan politik negara kita. Saya yang berada jauh di cerok Lampeter, Wales ini pun terasa betapa serabutnya kerenah politik dalam negara. Kadang-kala rasa letih perasaan hendak membaca berita-berita negara kebelakangan ini. Semuanya tentang kekeliruan politik.

Jika ada berita yang menyejuk jiwa seperti kisah kejayaan adik Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal yang berjaya dalam pelajarannya sekalipun dari keluarga miskin, tidak pula menjadi isu hangat untuk diperkatakan oleh masyarakat kita. Mungkin sekadar laporan media untuk sehari dua. Tidak enak barangkali untuk dihidang bersama rakan sebagai jamuan telinga seperti mana sedapnya mendengar cerita kekalutan politik.

Padahal pendidikan dan ilmu diperlukan secara langsung oleh setiap insan, sedangkan politik rakus dan ‘gila kuasa’ hanya untuk mereka yang dimabukkan oleh syaitan. Sehingga saya baca daripada satu sumber berita kononnya dijumpai ‘barangan bomoh’ yang diletakkan di bawah meja Perdana Menteri. Pelik bunyinya kisah-kisah politik kebelakangan ini. Apa yang patutnya rahsia, dikongsi semua. Ada yang patut dikongsi semua, menjadi rahsia.

Maka tertanya sekelian rakyat: “tangan-tangan siapakah gerangan?”. Jika saya yang berada di Lampeter United Kingdom ini iaitu satu kawasan yang dianggap ulu tetapi tenang, menghijau, dengan udaranya yang segar dan masyarakatnya yang agak mesra, pun terasa mual dan loya dengan berita-berita negara kita, apatahlagi perasaan rakyat yang prihatin yang hidup dalam negara.

Atau mungkin rakyat negara kita sudah sampai kepada satu tahap menganggap kisah-kisah kecurangan dan sensasi ahli politik adalah satu hiburan seperti mana kisah-kisah gossip artis. Padahal ada beza antara dua kelompok tersebut. Gossip artis mungkin kesannya tidak seburuk kecurangan ahli politik yang rasuah, salahguna kuasa, memecah belahkan masyarakat hanya atas kepentingan, membazir masa rakyat dan menggadaikan masa depan awam.

Membaca berita ahli politik; tikam menikam sesama sendiri, benci-membenci dalam mengejar kuasa, curahan wang dan harta kerana pangkat semata, dedah mendedah keaiban masing-masing dan berbagai lagi menjadikan dada kusut dan serabut. ‘Sembang-sembang’ mereka penuh dengan sumpah seranah dan permusuhan hanya kerana kuasa.

Kawan-kawan orang politik ramai yang munafik daripada yang jujur. Pujian untuk orang politik banyak yang dusta daripada yang ikhlas. Bak kata ungkapan pantun dalam lagu: Inikah dia lakonan hidup, di pentas dunia insan berpura. Tipu dan daya mencapai maksud, budi dan harta merangkum noda.

Hairan kita dengan orang politik, apakah candu yang mereka telan sehingga mereka sanggup berada di alam yang seperti itu. Apakah yang mereka kejar untuk memperolehinya sehingga mereka sanggup meredah badai kesakitan jiwa dan perasaan yang sedemikian. Apakah mereka mengejar kuasa tanpa bahagia? Atau kuasa bersama derita? Atau biar derita asal berkuasa? Atau mereka sebenar tidak berjumpa dengan nikmat hidup bahagia? Atau mereka bak apa yang Allah firman dalam al-Quran: (maksudnya)

“Oleh itu, janganlah engkau tertarik kepada harta benda dan anak pinak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya mahu menyeksa mereka dengan itu semua dalam kehidupan dunia” (Surah al-Taubah: ayat 55).

Sejarah seantero dunia meriwayatkan cerita-cerita politik itu penuh dengan riwayat sengsara dan derita. Orang yang tamakkan kuasa sebenarnya mengidap sejenis penyakit gila yang mungkin bertindak di luar dari kebiasaan insan yang normal. Dia mungkin berbohong, khianat, rasuah, menzalimi insan lain, bahkan mungkin membunuh atas kegilaan yang luar kawalan. Dia sanggup mengorbankan segala-galanya, hanya kerana kuasa.

Tetapi yang pasti jika diteliti, mereka ini hilang kewarasan, kebahagiaan dan ketenteraman hidup. Jiwa mereka miskin. Bayang-bayang ketakutan atas dosa dan hilang kuasa memburu mereka setiap waktu dan penjuru. Perasaan resah apabila bersendirian tanpa pengikut, atau sendiri bermimpi ngeri bimbang hilang pengaruh. Demikianlah insan apabila Allah dan bayangan hari akhirat itu hilang dari jiwa seseorang insan.

Para pejuang kebenaran kerana Allah juga mungkin derita dan diseksa. Mungkin juga diuji dengan penderitaan fizikal dan tekanan perasaan sebagai insan. Namun, keimanan, keikhlasan dan harapan mendapat ganjaran di sisi Allah sentiasa menjadikan derita itu kecil, bahkan mungkin bertukar menjadi nikmat apabila apabila mengenang bahawa ujian dan bala itu penyebab ganjaran dan pahala serta menghapuskan dosa.

Jiwa mereka besar kerana tempat pergantungan mereka sangat agung. Ini seperti yang sering para pejuang sebutkan: “Jika aku dipenjara maka itu satu kerehatan. Jika dibuang negeri maka itu satu perlancongan dan jika aku dibunuh maka itu bererti syahid. Para pejuang kebenaran sentiasa damai kerana nampak ke mana jalan hendak dituju. Firman Allah dalam Surah al-Nisa’: (maksudnya)

“Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit maka sesungguhnya mereka pun menderita sakit seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan daripada Allah apa yang mereka tidak harapkan dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

Ugutan, ancaman, penghinaan, kezaliman dan segala rupa kesakitan hidup dirasai oleh orang politik dan bukan politik. Namun antara perbezaan mereka yang berkerja untuk menegakkan kebenaran kerana Allah dan mereka yang berjuang untuk kepentingan tembolok sendiri adalah ketenangan jiwa dan kehalusan perasaan yang penuh syahdu dan lunak yang tidak dimiliki melainkan oleh golongan yang pertama.

Golongan pertama iaitu para pejuang kebenaran kerana Allah, tanpa mengira atas pentas apa mereka berada; dakwah, politik, ekonomi, pendidikan atau apa sahaja, akan melalui kesukaran perjuangan mereka dengan mendekatkan diri kepada Allah, mengharapkan pahala dan keampunan serta tawakal yang penuh kepadaNya. Samada kemenangan atau ketewasan; semuanya dihayati sebagai nikmat pengorbanan untuk insan kerana Tuhan.

Firman Allah Surah Ali ‘Imran 173: (maksudnya)

“Mereka yang apabila diberitahu oleh orang ramai (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa manusia berkumpul untuk memerangi kamu, maka gerunlah kamu kepada mereka”. (maka berita itu sebenarnya) menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadanya Segala urusan kami)”.

Sebab itu dalam sejarah kuasa politik sekalipun hebat, gagal untuk menundukkan pejuang kebenaran yang ikhlas. Sekalipun tubuh dan harta para pejuang itu diseksa dan dirampas, tetapi jiwa penguasa juga yang menderita. Namun sejarah terus mencatatkan kedua kelompok itu sentiasa berterusan wujud sekalipun menghadapi berbagai rintangan.

Penegak kebenaran kerana Allah ada di setiap zaman menghadapi segala tribulasi perjuangan kerana memburu keredhaan Allah dan syurga yang dijanjikan. Sementara kelompok yang tamakkan kuasa juga wujud di setiap zaman disebabkan penyakit gila yang meresap ke dalam jiwa mereka. Mereka terbayang pada kuasalah segala keindahan dan keseronakan. Mereka lupa betapa ramai yang berkuasa itu telah hilang nikmat kebahagiaan jiwa. Sabda Nabi s.a.w:

“Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinanan, ianya akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ianya sesuatu yang nikmat pada permualaannya tapi keburukan pada akhirnya” (Riwayat al-Bukhari).

Ya, politik bukan semuanya buruk. Berpolitik untuk menegakkan kebenaran serta berpolitik dengan disiplin yang ditunjukkan oleh Allah dan RasulNya adalah tuntutan. Kita perlukan orang politik yang melaksanakan tanggungjawab kepimpinan berdasarkan wahyu Tuhan. Namun jika politik itu adalah kisah ketamakan dan kerakusan seperti yang sering kita dengar, ia sebenarnya adalah kisah insan-insan yang hilang bahagia, berpenyakit jiwa dan gila.

Maka ingin kita bertanya kepada mereka ini yang sengit bertarung saban hari: “Berbaloikah semua itu?”

Sumber: http://drmaza.com/home/?p=574

Mohon pembaca sebar-sebarkan