Pasti ada Pencipta yang berhak disembah tanpa sekutu
Pernah saya ditanya oleh seorang rakan bukan muslim suatu bentuk soalan yang berkaitan dengan konsep ketuhanan.Beliau yang seorang bukan muslim bertanyakan kepada saya apakah mungkin Tuhan yang Mencipta kita berada di angkasa lepas.Disebabkan itu merupakan soalan pertama dari seorang bukan muslim mengenai Tuhan maka saya agak terkejut dan menjawab bahawa saya tidak tahu.Saya percaya ramai yang akan mengatakan itu bukan suatu jawapan yang tepat dalam konteks dakwah,sehingga kini saya juga beranggapan itu bukan jawapan yang sepatutnya.
Rubbubiyah
Lupakan jawapan yang teruk terhadap bukan muslim tersebut.Hasil dari pertanyaan bukan muslim tersebut membuatkan saya terfikir bahawa bukan muslim juga percaya akan Kewujudan Tuhan yang Maha Mencipta dan Maha Memiliki.Jika diteliti didalam al-Quran juga menyatakan perkara yang sama.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayaNya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri".
(Az-Zumar:38)
Dan jika ditanya siapakah yang memberi rezeki pasti mereka akan menjawab Allah yang memberi rezeki,ini seperti di dalam firmanNya yang bermaksud:
Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): "Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? "(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: "Allah jualah yang menguasai segala-galanya! "Oleh itu, katakanlah: "(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?
(Yunus:31)
Juga di dalam surah Az-Zukhruf Allah berfirman yang bermaksud:
Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?
(Az-Zukhruf:87)
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik).
(Al-'Ankabuut:63)
Banyak sekali bukti dari al-Quran yang menunjukkan golongan bukan muslim juga percaya kepada kewujudan Allah yang Maha Mencipta,Maha Memiliki dan Maha Mentadbir,bahkan bagi mereka segala-galanya dikuasai Allah.Kenyataan ini selari dengan Firman Allah SWT yang bermaksud:
Tanyakanlah (wahai Muhammad): "Kepunyaan siapakah bumi ini dan segala yang ada padanya, kalau kamu mengetahui?" Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah". Katakanlah: "Mengapa kamu tidak mahu ingat (dan insaf)?" Tanyakanlah lagi: "Siapakah Tuhan yang memiliki dan mentadbirkan langit yang tujuh, dan Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar?" Mereka akan menjawab: "(Semuanya) kepunyaan Allah".Katakanlah:"Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?" Tanyakanlah lagi: Siapakah yang memegang kuasa pemerintahan tiap-tiap sesuatu, serta ia dapat melindungi (segala-galanya) dan tidak ada sesuatupun yang dapat disembunyi daripada kekuasaannya?(Jawablah) jika kamu mengetahui!" Mereka akan menjawab: "(Segala-galanya) dikuasai Allah". Katakanlah: "Jika demikian, bagaimana kamu tertarik hati kepada perkara yang tidak benar?"
(Al-Mu'minuun:84-89)
Walaupun demikian masih terdapat sesetengah golongan yang cuba menafikan kewujudan Allah SWT yang Maha Mencipta seperti puak atheis,puak yang memuja teori Darwin dan lain-lain lagi.Ini semata-mata kerana kesombongan mereka,sedangkan jauh di sudut hati masih terbungkam kepercayaan tentang adanya Allah yang Maha Mencipta.Ini diterangkan oleh Allah SWT di dalam FirmanNya yang bermaksud:
Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan.
(An-Naml:14)
Dan juga di dalam FirmanNya yang bermaksud:
(Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri? Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (Sudah tentu tidak!) Bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya).
(At-Tuur:35-36)
Nas-nas al-Quran tersebut mengukuhkan lagi bahawa bukan muslim juga percaya kepada kewujudan Allah SWT.Mereka juga percaya Allah yang mencipta dan memiliki seluruh alam ini.Oleh itu jika sekadar percaya Allah SWT Maha Mencipta dan Memiliki masih belum membezakan kita dengan bukan muslim.Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan sekadar kepercayaan seperti ini masih belum membezakan antara kita dengan Iblis.Ini seperti yang terdapat di dalam Firman Allah SWT yang bermaksud :
Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah."
(Al-A'raaf:12)
Iblis juga percaya Allah Maha Mencipta dan Maha Memiliki seperti kejadiannya dan Adam a.s. juga adalah dari ciptaan Allah SWT.Oleh itu apakah yang membezakan Islam yang kita anuti dengan mereka.
Asma’ & Sifat
Di dalam Islam kita mengakui dan percaya nama dan sifat Allah SWT secara menyeluruh seperti yang terdapat di dalam al-Quran dan sunnah nabi Muhammad SAW.Sekali lagi Non Muslim juga percaya bahawa Tuhan itu Maha Kuasa,Maha Mencipta dan lain-lain.Seperti yang dinyatakan oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
“Tauhid asma’ dan sifat sahaja tidak memadai bagi membuktikan keislaman dengan hanya menyatakannya.Seorang Muslim wajib melaksanakan segalan tuntutan yang terkandung dalam maksud tauhid rububiyyah dan uluhiyyah.Ini disebabkan, ada dikalangan orang kafir juga mengakui beberapa sifat dan nama Allah, tetapibukan dengan cara yang sebenar.Contohnya, mereka mengakui beberapa nama Allah dan menafikan nama ar-rahman(pemurah), mereka berkata,”kami tidak mengenal ar-rahman(pemurah) melainkan rahman di yamamah sahaja.” Lalu Allah menurunkan ayatnya dalam surah ar-Ra’d ayat 30 yang bermaksud:
Demikianlah, Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) kepada satu umat yang telah lalu sebelumnya beberapa umat yang lain, supaya engkau membacakan kepada mereka Al-Quran yang Kami wahyukan kepadamu, sedang mereka kufur kepada (Allah) Ar-Rahman Katakanlah: "Dia lah Tuhanku, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah tempat kembaliku (dan kamu semuanya)".
(Ar-Ra’d:30)
Mereka juga menghafal syair,”Maka janganlah kamu menyembunyikan daripada Allah apa yang ada dalam diri kamu supaya ia tersembunyi.Walau bagaimana ia disembunyikan,Allah pasti mengetahui.”
Mereka mengakui beberapa nama dan sifat Allah tetapi mereka ingkarkan nama ar-rahman dengan makna yang sebenar.Begitu juga dengan sifat-sifat Allah.Malah kadang-kadang mereka mengada-adakan sifat yang tidak layak bagi Allah.”
(Abdul Hadi Awang/Beriman Kepada Allah/ms:8-9)
Oleh itu jangan kita berasa sudah memadai dengan sekadar mengakui wujud Allah sebagai pencipta,pemilik dan pentadbir alam ini,kerana sekadar percaya kepada Allah sebagai pencipta,pemilik dan pentadbir alam ini dan juga menerima Allah itu ar-Rahman dan lain-lain masih belum memadai dan masih belum membezakan keimanan kita dengan golongan Bukan Muslim.
Apakah Semua Agama Sama
Apakah semua agama itu sama,mengapa keimanan kepada Allah seperti yang dibincangkan masih belum membezakan kita dengan bukan muslim.Jika semua agama itu sama mengapa perlu Allah SWT mengutuskan rasul sepanjang zaman.
Uluhiyyah
Sesungguhnya harus difahami bahawa Asas yang membezakan antara agama Islam dan agama lain ialah Pengesaan terhadap Allah dalam segala jenis ibadat.Sesungguhnya Allah sahajalah yang berhak diabadikan dan tidak ada sekutu bagiNya.Inilah tauhid yang terkandung didalam al-Quran yang saban hari diulang sebanyak 17kali bacaannya di dalam solat,seperti di dalam Firman Allah yang bermaksud:
Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
(Al- Faatihah:5)
Juga di jelaskan lagi di dalam FirmanNya yang bermaksud:
Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi dan kepadaNyalah dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepadaNya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.
(Hud:123)
Apa yang jelas membezakan Islam dengan agama lain ialah Islam sama sekali tidak bertoleransi dengan syirik kerana jelas di dalam Islam hanya Allah sahaja yang berhak diabadikan,diibadati dengan ibadat yang ikhlas,zahir dan batin tanpa sekutu bagiNya.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.
(An-Nisaa':116)
Dan lagi FirmanNya yang bermaksud:
Yang demikian itu ialah petunjuk Allah, yang dengannya Ia memimpin sesiapa yang dihendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kalau mereka sekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain) nescaya gugurlah dari mereka, apa yang mereka telah lakukan (dari amal-amal yang baik).
(Al-An'aam:88)
Juga di dalam Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: "Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.
(Az-Zumar:65)
Dan inilah yang menjadi kewajipan bagi sekalian makhluk ciptaan Allah SWT seperti di dalam firmanNya yang bermaksud:
Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;
(An-Nisaa':36)
Dan juga seperti di dalam Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
(Al-Israa':23)
Dengan jelas diberitakan oleh Rasulullah SAW bahawa Tauhid uluhiyyah ini yang membezakan golongan yang mengesakan Allah dan golongan musyrikin.Tauhid ini juga yang menjadi ukuran masuknya seseorang itu ke dalam syurga atau pun neraka.Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang bertemu dengan Allah tanpa mensyiikkanNya dengan sesuatu,dia masuk ke syurga dan sesiapa yang bertemuNya dan mensyirikkanNya dengan sesuatu,dia masuk ke neraka.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Dengan tujuan menyampaikan tauhid ini jugalah diutuskan rasul-rasul dan kitab-kitab di setiap zaman.Tidaklah Allah SWT mengutuskan setiap rasul itu sia-sia,sebaliknya diutuskan setiap rasul bagi menyampaikan dakwah kepada tauhid yang suci iaitu tauhid uluhiyyah.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.
(Al-Nahl:36)
Dan di dalam FirmanNya yang bermaksud:
Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: "Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKu".
(Al-Anbiyaa':25)
Seperti yang di wahyukan kepada Rasulullah SAW dalam al-Quran yang bermaksud:
Katakanlah lagi (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya;
(Az-Zumar:11)
Kesimpulannya amat jelas sekali apa yang membezakan Islam dan agama lain pada asasnya ialah di dalam pengesaan mutlak terhadap Allah tanpa sekutu yang disebut sebagai tauhid uluhiyyah.Dan tauhid ini juga yang menjadi ukuran sama ada kita ini layak menghuni syurga atau pun neraka.Tauhid ini sekali gus melengkapkan ketiga-tiga tauhid iaitu Tauhid Rububiyah,Tauhid Asma Dan sifat serta Tauhid uluhiyyah.Tidak ada di dalam mana-mana agama yang mengandungi konsep pengesaan atau pun pengabdian mutlak semata-mata kepada Allah tanpa sekutu bagiNya melainkan Islam sahaja.
Wallahu’alam.
Rujukan:
1.Abdul Hadi Awang,Beriman Kepada Allah,Terbitan PTS Publications&distributors SDN BHD
2.Dr Abdullah Yasin,Aqidah Ahl Al Sunnah Wa Al Jama’ah jilid 1,Terbitan Al-Furqan Enterprise
3.Dr Shalih Bin Fauzan Bin Abdullah al-Fauzan,At-Tauhid lish Shaffil awwal al-ali edise terjemahan kitab tauhid,Terbitan Darul Haq,
4.Ismail Omar,Manhaj Aqidah Ahli As- Sunnah Wal Jamaah,Terbitan Access Infotech (M) SDN BHD.
Ibn Yaacob
Ampang,Selangor.
19 Mei 2009 / 24 Jamadil Awwal 1430
http://www.ibnyaacob.blogspot.com/
2 comments:
Great! Alhamdulillahh...
article yg hebat.hebat.
sy mencdgkan karya Dr.Danial- Quran & Scientific sebagai jawapan bagi non-muslim untuk 'melihat' Allah...
simple but nice and clear.. seperti buku mari mewarna untuk ssorg kanak-kanak tadika yg nak tahu semua mende disekelilingnya.
for muslim: ilmu,amal dan taqwa perlu seiring..rite?
thanks 4 this great article & congrats.
Assalamualaikum!
for muslim: ilmu,amal dan taqwa perlu seiring..rite?
correct! baru muhasabah tetang perkara ini pagi tadi,Alhamdulillah diingatkan lagi.
thanks for the advice and the suggestion.
wa'laikumsalam...
Post a Comment