Dan Ia menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya (tersergam tinggi) di atasnya, serta Ia melimpahkan berkat padanya, dan Ia menentukan ada padaNya bahan-bahan keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka; (semuanya itu berlaku) dalam empat masa.
(FUSSILAT:10)
“Sudah dua hari kita sesat di dalam hutan ini” Rungut Abdullah .
“Alah.. jangan risau diorang mesti tak berapa jauh di hadapan” Balas Munawarin dalam nada serba tahu.
Kelihatan khemah yang baru di tinggalkan.
“Ini mesti ada orang baru sahaja tinggalkan tempat ini,ntah-ntah diorang kot?” Soal Abdullah bak penyiasat CSI.
Tempelak Munawarin” Pandai-pandai kau je.Mana kau tahu ada orang yang buat khemah ni,kau bukannya nampak siapa yang buat khemah ni.Kau pun baru sampai dengan aku.Ntah-ntah khemah ni wujud dengan sendiri”
“Agak- agaklah,takkanlah khemah ni terjadi dengan sendiri pula? Tak masuk akal langsung “ Balas Abdullah dengan penuh yakin.
“Itula pasal kau ni,ketinggalan zaman, boleh jadi khemah ni wujud secara kebetulan atau pun dah memang semulajadi khemah ni wujud”Kata Munawarin dengan nada angkuh.
“prak!” Munawarin terpijak sesuatu.
“Aik,lighter.Siapa punya lighter pula ni?” Soal Munawarin.
“Apa kau cakap Munawarin?” Tanya Abdullah memerangkap kawannya.
“Siapa yang tinggal lighter kat tengah-tengah hutan ni?” Ulang Munawarin.
“Ala..lighter wujud sendiri,secara kebetulan atau pun secara semulajadi lighter tu tercipta dengan bekas gas cecair serta batu apinya bercantum membentuk lighter dengan sendiri dan akhirnya kita pun boleh gunakan lighter ni.” Sindir Abdullah menggunakan teori Munawarin.
TAMMAT
Tidak perlu saya lanjutkan cerita ini.Saya yakin anda semua tidak dapat menerima teori Munawarin dan turut bersetuju dengan Abdullah yang mengatakan “Tak Masuk Akal” dan lebih lagi anda akan mengatakan Munawarin ini sudah gila.
Sesungguhnya Fitrah insan sama sekali tidak dapat menerima alam ini dan segala yang terkandung di dalamnya tercipta dengan sendiri dan secara kebetulan.
Mari kita sama-sama renungkan Firman Allah SWT.:
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.
(AL-BAQARAH:164)
(Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri? Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (Sudah tentu tidak!) Bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya).
(AT –TUUR:35-36)
Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?
(AZ-ZARIYAT:21)
Cuma kita yang mana insan ini selalu lupa,degil tidak mahu menyahut suara fitrah yang ada di dalam jiwa. Boleh jadi ada yang sengaja dan tidak sengaja membiarkan Fitrah ini di bungkam di dalam jiwa kita.
Akan tetapi bila ditimpa bencana atau kesusahan yang maha dahsyat sehingga tiada yang dapat membantu lagi,maka ketika itu kita dapat merasakan hanya ada satu penolong sahaja yang dapat menolong kita iaitu Allah.Di saat ini kita kembali kepada fitah seperti mana Firman Allah SWT. :
Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Tuhannya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripadaNya, lupalah ia akan segala bahaya yang menyebabkannya merayu kepada Allah sebelum itu dan ia pula menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah, untuk menyesatkan dirinya (dan orang lain) dari jalan Allah. Katakanlah (kepadanya): "Bersenang-senanglah engkau dengan kekufuranmu itu bagi sementara, sesungguhnya engkau dari penduduk neraka.
(AZ-ZUMAR:8)
Dan (orang-orang yang tidak bersifat demikian) apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi.
(LUQMAN:32)
Adakah kamu - (sesudah diselamatkan ke darat) - merasa aman (dan tidak memikirkan), bahawa Allah akan menggempakan sebahagian dari daratan itu menimbus kamu, atau dia akan menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; kemudian kamu tidak beroleh sesiapapun yang menjadi pelindung kamu?
(AL-ISRA’:68)
Akhirnya,marilah kita sama-sama,terutamanya diri saya sendiri renungkan ayat ini dari Kalam-Allah dan kembali berfikir dan mengingati diri kita yang sering kali terlupa.
Ia juga menumbuhkan bagi kamu dengan sebab hujan itu tanaman-tanaman dan pokok-pokok zaitun dan tamar (kurma) serta anggur; dan juga dari segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu berfikir. Dan ia memudahkan bagi kamu malam dan siang, dan matahari serta bulan; dan bintang-bintang dimudahkan dengan perintahNya untuk keperluan-keperluan kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mahu memahaminya. Dan apa-apa jua yang dijadikan untuk kamu di bumi yang berlainan jenisnya (dimudahkan juga untuk kegunaan kamu). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi kaum yang mahu mengingati nikmat Allah itu.
(AN-NAHL:11-13)
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Sedikit rujukan dari pembacaan:
1.Pengertian Tauhid judul asli Hakikatul Tauhid oleh Syeikh Prof. Dr. Yusuf Al-Qardawi
2.Ibadah Dalam Islam judul asli AL-Ibadah Fil Islam oleh Syeikh Prof. Dr. Yusuf Al-Qardawi
3.Aqidah Islam oleh Sayed Sabiq
4.Islam Yang Semestinya Difahami judul asli Ta’rif ‘Am bi Deenil Islam oleh Syeikh Ali At-Thontowi.
5.Manhaj Aqidah Ahli As-Sunnah Wal Jama’ah oleh Syeikh Ismail Omar
6. Aqidah Ahli As-Sunnah Wal Jama’ah (1) oleh Syeikh Dr. Abdullah Yasin
Ibn Yaacob
Ampang,Selangor.
23 Februari 2009
1 comment:
assalamualaikum..
tahniah atas artikel2 yg baru dipublishkan..!.
moga mendapat manfaat dan pengajaran darinya..
^-^
Post a Comment