yang memualkan politik mencari aib dan membuka aib,dan mengerikan dengan politik UGUTAN BUNUH!
ikuti..
[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Pakatan Rakyat membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri, V. Sivakumar hari ini - "nyahkan Sivakumar" - dipercayai dilemparkan ekoran keputusannya menggantung Menteri Besar Perak dan enam Exco Kerajaan Negeri lain daripada menghadiri sidang Dewan.
Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, ugutan 'nyahkan' Sivakumar telah digunakan oleh www.mykmu.net hari ini, laman web yang digerakkan oleh penyokong-penyokong Umno.
"Perkataan 'nyah' boleh membawa apa juga maksud... ia boleh membawa makna menyembunyikan, menghilangkan, malah membunuh," jelas Nizar di Ipoh semalam.
"Jika apa-apa berlaku ke atas Speaker (Sivakumar), ini adalah tindakan mereka (Umno)," kata beliau sambil menambah, Sivakumar telah mengambil langkah berjaga-jaga sewajarnya untuk melindungi keluarga beliau.
Dalam tulisan muka depan laman web itu, editornya berkata:
"Adalah menjadi harapan patik-patik sekalian rakyat jelata agar Tuanku Sultan Perak mengambil tindakan segera ke atas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak dan mereka yang bersama beliau menggantung Menteri Besar Perak dan Barisan Exconya dari menghadiri sidang DUN Perak.
"Tidak pernah ada dalam sejarah orang Melayu ada manusia bukan Melayu boleh membuat keputusan bawa barang sesiapa yang hadir Majlis Tuanku Raja Melayu sebagai satu tindakan menghina negeri jajahan takluk tuanku sendiri.
"Jika zaman dahulu orang seperti Sivakumar ini sudah lama dibunuh oleh Laksamana Melayu. Hari ini orang Melayu sudah menjadi bacul-sebaculnya. Tidak pernah dalam sejarah Melayu pembesar Melayu mengangkat sembah kepada bukan Melayu, hari ini sudah berlaku di DUN Perak dan Selangor.
"Ampun Tuanku Beribu Ampun, Sembah Patik Harap Diampun
"Sejak April 2008, cacing sudah menjolok mata. Apakah Tuanku ingin membiarkan cacing ini terus bermaharajalela tanpa batasan?
"Pada hemat patik pacal yang hina, sudah tiba masanya Tuanku menintahkan hukuman buang negeri ke atas sekumpulan bukan Melayu yang merasakan mereka sekarang raja di Perak.
"Jangan terus berdiam diri, patik khuatir suatu hari nanti nasi sudah menjadi bubur, tragedi Kuala Sepetang berulang lagi.
"Nyahkan Sivakumar dan mereka yang terbabit membuat keputusan kononnya menghadiri majlis tuanku satu kesalahan keluar dari negari Perak Darul Ridzuan.
"Apakah guna seorang rakyat negeri tuanku jika majlis tuanku pun dianggap haram dan hina? Cukuplah orang Melayu menjadi bacul jangan sampai penaung orang Melayu pun dilihat tiada bertaring.
"Ampun Tuanku, sembah patik harap diampun!
"Sembah dari Rakyat MarhaenEDITOR MYKMU."
Dalam pada itu, Bernama melaporkan, Sivakumar masih boleh menarik balik keputusannya menggantung Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri sidang DUN kerana keputusan itu dibuat secara unilateral dan timbang tara.
Presiden Parti Demokratik Liberal (LDP), Datuk Liew Vui Keong, yang merupakan lulusan undang-undang berkata daripada segi perundangan, Sivakumar jelas membuat keputusan di luar skop bidang kuasanya.
"Daripada segi undang-undang dan perlembagaan, keputusan itu salah kerana penggantungan itu dibuat ketika Dewan Undangan Negeri tidak bersidang dan tiada undian dibuat dan tiada kelulusan diberikan majoriti anggota DUN Perak.
"Pada pandangan saya, Speaker masih boleh menarik balik keputusannya tanpa perlu merujuk kepada DUN kerana ia dibuat secara unilateral dan timbang tara," katanya.
Liew, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga berkata, tindakan Sivakumar, yang mempengerusikan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak untuk menggantung Zambry selama 18 bulan dan enam Exco itu selama 12 bulan jelas menghina Dewan.
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup pula berkata, tindakan Sivakumar dan jawatankuasa itu adalah "keterlaluan".
"Speaker DUN Perak telah bertindak keterlaluan dalam menangani isu ini... ini boleh dilihat sebagai cara untuk menjatuhkan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) Perak (yang baru mengambil alih daripada pakatan pembangkang)," katanya.
Menyokong kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh baru-baru ini bahawa keputusan itu perlu diluluskan oleh sidang DUN, Kurup berkata, keputusan itu tidak sah kerana dilakukan di luar sidang dewan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun pula berkata, terserah kepada Zambry selaku Menteri Besar untuk mengendalikan perkara itu.
"Kita serahkan kepada kerajaan BN negeri Perak, kepimpinan Zambry yang tentunya akan tahu dengan kebijaksanaannya bagaimana untuk mengendalikan (perkara ini)," kata Azizah yang juga lulusan undang-undang sambil enggan mengulas lanjut.
Naib Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, tindakan Sivakumar itu adalah berat sebelah.
"Beliau tidak menghormati DUN dan beliau gagal menjalankan tugas sebagai seorang speaker.
"Jelas dengan menggantung Zambry daripada menghadiri sidang DUN menunjukkan yang beliau ada agenda politik terhadap pentadbiran kerajaan negeri Perak yang baru. Sebagai seorang speaker, beliau tidak boleh menyebelahi manamana pihak," katanya.
http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/22/mstar_berita/20090221155046&sec=mstar_berita
Soal moral wakil rakyat tidak boleh diletak ke tepi
SATU lagi berita mengejutkan negara apabila seorang ahli politik tempatan terpaksa melepaskan jawatan kerana masalah moral.
Ekoran kesediaan Elizabeth Wong meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan dan Exco Kerajaan Negeri Selangor semalam, bermakna satu lagi pilihan raya kecil bakal diadakan.
Dua pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri - Bukit Selambau, Kedah dan Bukit Lanjan, Selangor perlu diadakan kerana kedua-dua wakil rakyat PKR itu telah meletakkan jawatan akibat 'masalah peribadi' masing-masing.
Kejadian ini bukanlah sesuatu yang baru dalam politik negara. Beberapa pemimpin terdahulu termasuk dari Barisan Nasional juga pernah dikaitkan dengan skandal seks sehingga karier politik mereka terjejas.
Dalam suasana baru politik tanah air, penyebaran gambar bogel atau video di dalam Internet mengenai hubungan seks ahli politik dengan pasangannya boleh dianggap satu bentuk pencabulan maruah dan pelanggaran ruang peribadi.
Tetapi daripada sudut nilai moral, agama dan masyarakat timur, kita masih belum dapat menerimanya. Oleh itu adalah wajar ahli politik yang 'terpalit' dengan lumpur skandal moral begini harus melepaskan jawatan yang disandangnya. Mereka tidak layak memimpin rakyat jika nilai moral mereka dipertikaikan.
Seseorang pemimpin yang menjadi wakil rakyat perlu menunjukkan contoh terbaik kepada orang ramai.
Selain soal integriti, nilai moral yang tinggi juga adalah antara peranan yang perlu dimainkan oleh wakil rakyat.
Mereka harus sedar bahawa ahli politik tidak lagi mempunyai kehidupan peribadi sebaik-baik sahaja bergiat dalam bidang politik yang penuh dengan ranjau.
Sebab itu ahli politik perlu menjaga kehidupan peribadi dan tidak wajar ia menjadi tontonan masyarakat umum.
Kita memahami ahli politik juga adalah manusia biasa yang melakukan kesilapan. Jadi ada penyokong dan golongan yang bersimpati kepada ahli politik yang terpalit dengan insiden moral ini berpendapat kesilapan yang dilakukan itu boleh dimaafkan.
Bagi mereka, apa yang penting ialah keupayaan, kebolehan dan komitmennya untuk memimpin. Perkara-perkara peribadi yang dilakukan di luar tugasnya tolak ke tepi. Hak wakil rakyat sebagai individu jangan diganggu.
Tetapi, kita percaya dalam mana-mana agama selain Islam, perbuatan yang terlarang tetap salah tanpa mengira status individu. Ia tetap tidak boleh diterima.
Dalam politik, nama baik parti perlu dijaga. Begitu juga, parti tidak mahu sesuatu isu berkaitan dengan skandal seks dijadikan modal untuk memburukkan parti oleh pihak lawan ataupun seteru politik dalam parti mereka sendiri.
Paling utama, jangan hilangkan kepercayaan dan harapan rakyat yang mengharapkan integriti penuh daripada wakil rakyat yang mereka pilih dalam pilihan raya.
Masyarakat pengundi kita sudah celik dan pintar memilih wakil rakyat mereka. Mereka mampu membuat saringan yang lebih teliti, rapi dan ketat. Selain hubungan politik, sosial dan undang-undang, soal moral pun sudah menjadi satu isu yang tidak boleh ditolak ke tepi sekarang.
Moral menjadi satu bentuk tapisan baru dalam menentukan pemilihan wakil-wakil rakyat pasca peletakan jawatan Dr. Chua Soi Lek.
Selepas kes Soi Lek, keperibadian ahli-ahli politik dipantau oleh pucuk pimpinan parti dan orang ramai.
Ini bermakna, kualiti seperti kerja kuat, mempunyai hubungan baik dengan masyarakat dan setia kepada parti belum cukup dalam politik era sekarang.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0218&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm&arc=hive
cuba teliti artikel skandal seks adun PKR ini mendapat reaksi pelbagai pihak,antaranya:
Berdosa di sisi semua agama
PUTRAJAYA 18 Feb. - Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh mempunyai pendirian yang sama berhubung salah laku bersekedudukan, iaitu satu perbuatan tidak bermoral dan berdosa jika dilakukan oleh penganut masing-masing.
Setiausaha Kehormat Majlis Perundingan Malaysia Bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh, R. Thiagaraja berkata, pasangan lelaki-wanita yang tinggal bersama tanpa ikatan perkahwinan dianggap hina di sisi masyarakat kerana mempamerkan contoh yang tidak baik.
Menurut beliau, mereka yang melakukannya boleh dianggap kurang ajar kerana tidak menghormati masyarakat di sekeliling.
Selain itu, tambah beliau, pasangan tersebut juga boleh merosakkan pemikiran dan disiplin golongan muda khususnya kanak- kanak.
''Walaupun saya Hindu, agama-agama lain iaitu Buddha, Kristian dan Sikh semuanya tidak bersetuju dengan mereka yang tinggal bersama seperti suami-isteri tanpa ikatan sah.
''Perbuatan mereka merupakan satu dosa dan tidak bermoral," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ekoran kejadian itu, Elizabeth yang juga Exco kerajaan negeri Selangor semalam menawarkan diri untuk meletak jawatan dan juga mengosongkan kerusi Bukit Lanjan setelah gambar bogelnya tersiar dalam Internet.
Kelmarin, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo menggesa Elizabeth meletakkan jawatan serta-merta jika benar wujudnya penyebaran gambar bogelnya melalui Internet kerana ia berkait rapat dengan soal moral seorang pemimpin.
Thiagaraja bagaimanapun enggan mengulas mengenai isu bersekedudukan apabila diminta mengaitkannya dengan kes Elizabeth.
''Saya tidak mahu campur urusan politik. Namun, jika ada mana-mana pihak yang mahu mendapatkan nasihat mengenai perkara berkaitan agama, kami ada badan yang boleh membuat kesimpulan atau mencari penyelesaian," katanya.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0219&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_11.htm&arc=hive
Yang aneh lagi pelik semasa skandal (CSL) Chua Sooi Leek yang merupakan seorang berjawatan besar dalam negara dahulu tiada pula pandangan-pandangan sebegini,tiada pula kedengaran suara dr Mantan MB selangor Dr khir toyo seperti apa yang berlaku sekarang.Benar kata DR MAZA,inilah politik namanya...
kadang disebabkan tidak selesa dengan sesetengah pihak yang pro kepada sesebuah parti dengan memaparkan berita sebelah pihak membuatkan saya memaparkan berita dari pihak yang bertentangan.mulanya saya cuba memaparkan berita dari kedua-dua belah pihak,akhirnya simpati kepada pihak yang ditindas membuatkan saya berfikir untuk membela mereka.saya khuatir jika saya tidak adil dalam penilaian politik semasa.cukup susah untuk berlaku adil dalam politik dan sesama orang politik rupanya.
" Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua
sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi
menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap
sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.
Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih
hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan” :(al-Maidah 8)
kembali tenanglah politik tanah airku..
No comments:
Post a Comment