Thursday, March 08, 2007

LAZIMNYA KITA TAHU MEMANG KENA CEGAH KEMUNGKARAN,TAPI SYARATNYA?

TAJASSUS DALAM OPERASI PENCEGAHAN MUNKAR

Oleh:

Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

(Mufti Kerajaan Negeri Perlis)

Apabila isu khalwat dibangkitkan ramai pihak yang memberikan reaksi yang tersendiri. Ada yang berkepentingan menjadikan isu ini sebagai isu politik disebabkan sudah lama barangkali ketandusan isu. Ada yang begitu konservertif sehingga enggan memahami maksud sebenar isu ini. Namun yang nyata sokongan golongan terpelajar dan berpendidikan di negara ini amat memberangsangkan. Sokongan besar yang mereka berikan menjadi api semangat ke arah meneruskan proses pembaruan pemikiran yang amat diperlukan demi mempertahankan imej Islam.

Kesalahan Memahami Isu

Sebenarnya, apa yang dipertikaikan bukanlah usaha mencegah kemungkaran, tetapi disiplin dan pendekatan yang digunapakai. Juga fokus yang berlebihan terhadap maksiat tertutup sehingga melupai tanggungjawab sebenar terhadap pencegahan maksiat terbuka.

Seperti yang dimaklumi, bahawa antara perkara asas yang disepakati oleh umat Islam tanpa kecuali ialah Al-Amr bi al-Ma’ruf Dan al-Nahy ‘An al-Munkar (menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran) adalah kewajipan agama dan melaksanakannya adalah melaksanakan ibadah kepada ALLAH s.w.t. Nas-nas mengenai perkara ini amat banyak. Kecuaian terhadap tanggungjawab ini adalah dosa.

Mencegah Munkar Mesti Mengikut Peraturan

Islam adalah agama yang berpegang kuat dengan disiplin dan peraturan. Bermula dari wuduk, solat, puasa, zakat sehingga hajj ada syarat dan rukunnya. Bermula dari dalam masjid sehingga ke medan perang, ada peraturan dan disiplinnya. Bahkan dalam keadaan yang sukar ketika bertempur dengan musuh pun, para pejuang Islam masih dituntut untuk berpegang dengan peraturan-peraturan tertentu seperti tidak dicincang mayat, tidak dibunuh kanak-kanak dan sesiapa yang tidak terlibat, tidak bunuh para perwakilan dan berbagai lagi. Apa yang penting, suruhan dan perintah yang dikeluarkan oleh Islam diiringi dengan rukun, peraturan, disiplin dan kaedah yang mesti diikuti. Al-Amr bi al-Ma’ruf Dan al-Nahy ‘an al-Munkar adalah titah ALLAH dan ia adalah ibadah atau amal soleh. Justeru ia mempunyai peraturan yang mesti di patuhi.

Sesuatu ibadah tidak sah melainkan dengan syarat-syaratnya. Syarat ibadah ialah ikhlas dan menepati al-Quran dan al-Sunnah. Sesiapa yang ikhlas tetapi tidak menepati al-Quran dan al-Sunnah amalannya ditolak

Kata Ibn Taimiyyah (meninggal 728H): “Oleh kerana ini menjadi batasan setiap amalan soleh, maka penyuruh kepada makruf dan pencegah daripada munkar itu sendiri wajib memenuhi tuntutan tersebut. Justeru tidak menjadi amalan soleh jika tidak dengan ilmu dan fiqh. Ini seperti kata ‘Umar bin ‘Abd al-Aziz:)Sesiapa yang mengabdikan diri kepada ALLAH tanpa ilmu, maka apa yang dia rosakkan lebih banyak daripada apa yang dia baik…Ini suatu yang jelas. Sesungguhnya tujuan dan amalan jika tidak dengan ilmu maka ia adalah kejahilan, kesesatan dan mengikut hawa nafsu –seperti yang dijelaskan sebelum ini-. Inilah perbezaan antara golongan jahiliyyah dan golongan Islam. Pelaksana Al-Amr bi al-Ma’ruf Dan al-Nahy ‘An al-Munkar mestilah mempunyai ilmu mengenai makruf dan munkar, serta membezakan keduanya. Mestilah juga memiliki ilmu mengenai keadaan orang yang disuruh atau dicegah tersebut”.( rujukan: Ibn Taimiyyah, Majmu’at al-Fatawa, 14/344-345, Riyadh : Maktabah al-‘Abikan 1998)

Munkar Yang Nyata

Para ulama syariah ketika membahaskan syarat-syarat Al-Amr bi al-Ma’ruf Dan al-Nahy ‘An al-Munkar telah menyebut dengan jelas bahawa salah satu syaratnya; hendaklah mungkar itu sesuatu yang zahir atau nyata. Dalam ertikata lain sebarang syak wasangka atau intipan tanpa sebab yang dururat adalah dilarang. Hal ini dijelaskan oleh berbagai-bagai ulama dalulu dan semasa. Dalam tulisan ringkas ini saya suka untuk memetik apa yang sebut oleh al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya ‘Ulum al-Din. Ini memandangkan tokoh berkenaan dan karangannya tersebut amat masyhur di kalangan masyarakat melayu kita. Beliau telah menyebut mengenai rukun-rukun perlaksanaan Hisbah. Hisbah bermaksud “perlaksanaan al-Amr bi al-Ma’ruf (menyuruh kepada kebaikan) apabila jelas ia ditinggalkan, dan al-Nahy ‘An al-Munkar (pencegahan kemunkaran) apabila jelas ia dilakukan” (lihat: Dr Fadl Ilhi, Al-Hisbah, m.s. 20, Pakistan : Idarat Tarjamah al-Islam 1997M). Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah: “Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini. Kisah ‘Umar dan ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan) . Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa ‘Umar r.a. telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah ‘Umar dan berkata: “Jika aku menderhakai ALLAH pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakaiNya pada tiga perkara. ‘Umar bertanya: “Apa dia?”. Dia berkata: ALLAH ta’ala telah berfirman (maksudnya: Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain). Sesungguhnya engkau telah melakukannya. ALLAH berfirman: (Maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya) . Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. ALLAH berfirman: (maksudnya: janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya) . Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka ‘Umar pun meninggalkannya… Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut..”(rujukan: Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut : Dar al-Khair 1990)

Tokoh ulama semasa seperti al-Qaradawi telah menyebut perkara yang hampir sama. Beliau dalam bukunya Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam telah menyatakan: “Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemunkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadith "barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya….” Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemunkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemunkaran dari orang lain.Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya. Diserahkan hanya kepada ALLAH untuk menghisabnya pada hari kiamat. Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya. Bahkan hukuman ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir ALLAH dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadith sahih: (bermaksud): "Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).Justeru, tiada seorang pun mempunyai wewenang untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran- kemungkaran yang dilakukan secara sembunyian. Terutamanya maksiat hati seperti riyak, kemunafikan, kesombongan, dengki, kikir dan lain-lainnya. Sekalipun agama menganggapnya sebagai dosa besar, namun tidak dibantah-selagi tidak zahir dalam bentuk amalan. Sebabnya ialah kita diperintahkan untuk menghakimi manusia apa yang kita nampak. Adapun hal-hal yang tersembunyi kita serahkan kepada ALLAH (Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, m.s. 124, Kaherah: Dar al-Syuruq 1997)

Adalah menghairankan ada kumpulan atau organisasi tertentu yang pernah menjadikan buku al-Qaradawi tersebut sebagai bahan perbincangan di peringkat kepimpinan mereka tiba-tiba terperanjat apabila isu operasi khalwat dibangkitkan.

Tafsiran Tajassus (Mengintip Mencari Kesalahan Orang Lain).

Firman ALLAH dalam Surah al-Hujurat ayat 12: (maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang..”

Antara ulama tafsir yang memberikan tafsiran yang teliti tentang maksud al-Tajassus dalam ayat ini ialah al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H) dalam tafsirnya telah mengemukakann riwayat-riwayat yang memadai tentang larangan mengintai atau mengintip maksiat orang lain dengan tujuan untuk diambil tindakan. (Lihat: al-Qurtubi, Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 16/333-334, Beirut : Dar al-Fikr t.t.)

Bahkan Syaikh al-Mufassirin, Al-Imam al-Tabari (meninggal 310H) sebelum itu telah menghuraikan dengan jelas maksud ayat ini. Antaranya: wala tajassasu bermaksud jangan kamu mencari keaiban satu sama lain, jangan kamu mencari rahsia-rahsianya dengan tujuan untuk mengetahui kecacatannya. Namun berpadalah dengan apa yang nyata dari dirinya. Nilailah dia atas asas tersebut sama ada baik atau buruk. Jangan kamu mencari kesalahannya. Kata Ibn ‘Abbas: “ALLAH melarang orang mukmin daripada mencari keburukan-keburukan mukmin yang lain. Kata Mujahid: “Ambillah apa yang nyata, dan tinggalkan apa yang ALLAH tutup”. Kata Qatadah: Tahukah kamu apa itu tajassus? Iaitu kamu mencari-cari keaiban saudaramu untuk mengetahui rahsianya. Kata Ibn Zaid: “Tajassus itu kamu berkata: sehingga aku dapat lihat kesalahan itu, aku bertanya mengenainya untuk mengetahui adakah benar atau tidak”.( al-Tabari, Tafsir al-Tabari, tahzib: Dr Salah al-Khalidi, 7/40-41 Damsyik: Dar al-Qalam (1997)

Dr Wahbah al-Zuhaili menyebut: “Tajassus termasuk dalam dosa-dosa besar, iaitu mencari keaiban yang tersembunyi dan rahsia”.( Al-Zuhaili, Al-Tafsir al-Munir, 255, 263/26, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu’asir 1991)

Sebagai penulis tafsir moden, Sayyid Qutb menyentuh ayat ini dengan begitu mendekati kehidupan muslimin di zaman kini. Antaranya beliau menyebut: “Namun perkara ini kesannya lebih jauh dari itu. Ia adalah prinsip Islam yang utama dalam sistem kemasyarakatannya, juga dalam urusan perundangan dan perlaksanaannya. Sesungguhnya bagi manusia itu kebebasan, kehormatan, kemuliaan yang tidak boleh dicerobohi dalam apa bentuk sekalipun. Tidak boleh disentuh dalam apa keadaan sekalipun. Dalam masyarakat Islami yang tinggi dan mulia, manusia hidup dalam keadaan aman pada diri mereka, aman pada rumah mereka, aman pada rahsia mereka dan aman pada keaiban mereka. Tiada sebarang justifikasi –atas apa alasan sekali pun- untuk mencerobohi kehormatan diri, rumah, rahsia dan keaiban. Sekalipun atas pendekatan mencari jenayah atau memastikannya, tetap tidak diterima dalam Islam pendekatan mengintip orang ramai. Hukum manusia berasaskan apa yang zahir. Tiada hak sesiapa untuk mencari-cari rahsia orang lain. Seseorang tidak akan diambil tindakan melainkan atas kesalahan dan jenayah yang nyata dari mereka….demikianlah nas ini (larangan tajassus) menempatkan dirinya dalam sistem perlaksanaan dalam masyarakat islami. Ia bukan sekadar mendidik jiwa dan membersihkan hati, bahkan ia telah menjadi dinding yang memagari kehormatan, hak dan kebebasan manusia. Tidak boleh disentuh dari dekat atau jauh, atau atas sebarang pendekatan atau nama”.(rujukan: Sayyid Qutb, Fi Zilal al-Quran, 6/3346, Kaherah: Dar al-Syuruq 1992)

Dalam hadith lain daripada Mu’awiyah: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya engkau, jika mencari-cari keaiban orang ramai, nescaya engkau merosakkan mereka atau hampir merosakkan mereka. Kata Abu Darda: Itu adalah perkataan yang Muawiyah dengar daripada Rasulullah, ALLAH memberikan manfaat kepadanya dengan perkataan tersebut. (Riwayat Abu Daud. Sanadnya sahih)

Jika Dururat Mendesak Tajassus

Timbul persoalan pada sesetengah pihak, terutamanya pasukan keselamatan; jika intipan dilarang sama sekali, ia boleh menimbulkan ancaman yang membahayakan negara atau keselamatan awam. Ini seperti rancangan pengedaran, senjata api dan seumpamanya.

Di sini perlu dijelaskan, tajassus adalah diharamkan untuk kemaslahatan dan mengelakkan kerosakan. Namun jika terbukti di sana ada keburukan atau kemerbahayaan yang lebih besar yang mengancam keselamatan awam, maka ia diizinkan seperti mana diizinkan mengumpat untuk suatu tuntutan yang mendesak. Ini seperti firman ALLAH dalam Surah al-Nisa 148: (maksudnya) Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan.

Dalam keadaan terdesak, maka apa yang dijelaskan oleh al-Imam al-Syaukani (meninggal 1250H) amat bertepatan. Kata beliau: “Aku katakan; jika hanya semata-mata sangkaan maka tidak mencukupi dalam hal ini. Bahkan mestilah dengan pengetahuan kerana ia termasuk dalam tajassus yang dilarang berdasarkan dalil al-Quran. Namun dibolehkan untuk suatu kemaslahatan yang mana membantah kemunkaran itu lebih kukuh dibandingkan meninggalkan tajassus dan kerosakan meninggalkan bantahan terhadap kemungkaran lebih dahsyat dari kerosakan tajassus. Atau mungkin boleh digabungkan bahawa pengharaman tajassus berkaitan dengan tanpa pengetahuan (sangkaan) kerana tidak dinamakan tajassus jika perlaksananya benar-benar mengetahui”.( Al-Syaukani, Al-Sail al-Jarar, 4/591 Beirut : Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah 1405H)

Secara mudah saya bahagikan hal ini kepada dua bahagian:

Pertama: Maksiat atau kemungkaran peribadi yang membabitkan diri seorang insan dengan Tuhannya sahaja tanpa mengancam keselamatan awam. Maka maksiat seperti ini tidak boleh dilakukan tajassus. Ini berdasarkan dalil-dalil yang disebutkan tadi.

Kedua: Maksiat atau kemungkaran yang mengancam keselamatan awam. Maksiat jenis boleh diintip disebabkan kemerbahayaan membiarkannya tanpa kawalan adalah lebih dahsyat dari keburukan tajassus.

Adapun pembahagian yang dibuat oleh al-Imam al-Mawardi dalam Al-Ahkam al-Sultaniyyah yang dikutip tanpa ulasan yang mendalam oleh beberapa penulisan segelintir ulama dahulu dan sekarang adalah pembahagian yang menarik dan mempunyai unsur persamaan dengan yang saya sebutkan. Namun sebutan zina sebagai contoh dalam pembahagian pertama yang membolehkan tajassus tidak mempunyai alasan atau sandaran yang kukuh. Bahkan bercanggah dengan kes-kes aduan zina pada zaman Nabi s.a.w yang mana baginda berusaha menolak aduan dan mengelakkan kes diproses.

Garis Panduan Umum Operasi Khalwat

Berdasarkan perkara-perkara yang disebutkan di atas maka, saya dengan ini mencadangkan atau mengingatkan beberapa perkara berikut mestilah difahami dan diberikan perhatian;

1. Operasi ini hendaklah tidak menjadi punca kemungkaran tajassus berkembang dalam masyarakat Islam.

Maka pemberi maklumat hendaklah dipastikan ia tidak diperolehi berdasarkan perbuatan tajassusnya. Sebaliknya, berasaskan zahirnya kemungkaran tersebut. Seperti nampak dari luar rumah, atau bunyi yang meyakinkan maksiat sedangkan berlaku. Jika dia melakukan tajassus tanpa keperluan, maka dia fasik. Pemberitahuan orang fasik ditolak.

2. Operasi Itu Sendiri Tidak Berasaskan Tajassus.

Operasi memeriksa bilik ke bilik atas usaha mencari kesalahan maksiat adalah diketegorikan sebagai tajassus. Kemungkaran yang dicegahkan ialah apabila ia nyata atau diketahui secara yakin. Ini seperti nampak melalui tingkap atau cermin yang jelas. Aktiviti yang dimaklumi oleh masyarakat sekeliling atau berdekatan. Maka operasi mencari maksiat tersembunyi seperti meminta dibuka pintu untuk diperiksa tanpa sebarang kemaslahatan mendesak iaitu ancaman keselamatan awam adalah bercanggahan dengan ruh Islam.

3. Operasi Tidak Boleh Berasaskan Perkhabaran Yang Tidak Diyakini

Sebarang syak wasangka atau agakan semata-mata tidak boleh dijadikan teras operasi. Al-Quran melarang menerima perkhabaran orang fasik. Ini seperti firman ALLAH dalam Surah al-Hujurat ayat 6: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Operasi ini mempunyai kesan terhadap maruah dan hak kebebasan orang lain. Maka individu yang diketahui terlibat dengan kerja-kerja fasik secara jelas hendaklah ditolak. Termasuk dalam hal ini ‘kaki tajassus’. Al-Imam Ibn Kathir menyebut bahawa berdasarkan ayat ini sebahagian ulama menolak riwayat orang yang tidak diketahui latarbelakangnya dibimbangi ia fasik.(lihat: Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 13/145, Riyadh : Dar ‘Alam al-Kutub 1425H)

4. Pihak Pencegahan tidak boleh menggalakkan suasana suka mengadu keaiban sesama muslim –secara langsung atau tidak- tanpa kesedaran sendiri melakukan Al-Amr bi al-Ma’ruf wa al-Nahy ‘An al-Mungkar.

Nabi s.a.w tidak suka kes-kes diangkat kepada baginda. Sikap suka mengangkat kes-kes maksiat peribadi kepada penguasa adalah menyanggahi ruh Islam yang menyuruh ditutup keaiban saudara muslim. Sebaliknya, masyarakat hendaklah digalakkan dan diberi kesedaran melakukan Al-Amr bi al-Ma’ruf wa al-Nahy ‘An al-Munkar kerana itu adalah tanggungjawab semua pihak. Maka pemberian saguhati kepada pemberi maklumat dalam maksiat peribadi ini hendaklah dihentikan.

5. Tidak boleh didedahkan maksiat ini kecuali untuk perbicaraan kes.

Maka tindakan membawa media untuk membuat liputan semasa penangkapan adalah menyanggahi prinsip-prinsip keadilan dalam Islam.

6. Operasi benar-benar berteraskan keyakinan terhadap keselarasan dengan kaedah syarak dan ketepatan tindakan dan.

Perlu disedari operasi ini boleh menyebabkan sangkaan buruk tanpa bukti kukuh, mencemarkan maruah jika tersilap tangkapan, mengganggu ketenteraman individu dan haknya, menimbulkan kebencian terhadap pihak agama jika masyarakat diperiksa tanpa bukti yang nyata dan lain-lain. Maka jika ada sebarang keraguan, hendaklah tidak diterus sesuatu operasi pada sesuatu masa atau tempat. Maka kes kesilapan dalam tangkapan yang berlaku di sana sini adalah tanda menjalankan operasi atas keraguan.

Jika operasi dibuat dengan mematuhi syarat-syarat yang berlandaskan ruh syarak tentu kesilapan dan bantahan orangramai terhadap cara operasi dijalankan boleh di atasi. Focus masalah umat Islam juga hendaklah lebih luas. Maka persoalan tajassus yang dibincangkan oleh para ulama hendaklah diberikan perhatian serius agar imej Islam dapat dipelihara.

Sebarang pertanyaan: moasriza@yahoo.com

No comments: