Ta’rif Bid‘ah Dari Segi Bahasa
Bid‘ah dari segi bahasa diambil dari kata بَدَعَ . Berkata Ibn Manzur (ابن منظور) rahimahullah:[1]
بدع الشيءَ يَبدَعُه بَدعا، وابتدعهُ: أنشأه وبدأه.
Telah membuat sesuatu bid‘ah (past tense), sedang membuatnya (present tense) dan bad‘an (masdar/ kata terbitan) bererti mengadakan dan memulakan.
Berkata Muhammad bin Abi Bakr al-Razi rahimahullah:[2]
بدع الشيء: اخترعه لا على مثال.
Membuat bid‘ah sesuatu bermaksud mengadakannya tanpa ada suatu contoh.
Dalam al-Mu’jam al-Wajiz disebutkan hampir sama seperti di atas iaitu mengadakan sesuatu tanpa contoh sebelumnya.[3] Demikian kesemua mu’jam bahasa arab menyebut makna yang hampir sama.
Inilah bid‘ah dari segi bahasa iaitu membuat sesuatu yang belum ada contoh sebelumnya.
Ta’rif Bid‘ah Dari Segi Istilah
Ta’rif (definisi) yang baik bagi perkataan bid‘ah dari segi istilah ialah ta’rif yang dikemukakan oleh al-Imam Abu Ishaq al-Syatibi (الشاطبي) rahimahullah (790H)[4] dalam kitabnya yang masyhur berjudul al-I’tishom (الاعتصام). Kebanyakan para pengkaji bersetuju bahawa al-Syatibi telah mengemukakan ta’rif jami’ dan mani’ ( جامع ومانع). &nbp;[5] Antaranya Dr. Ibrahim bin ‘Amir al-Ruhaili dalam tesis Ph.Dnya ketika membandingkan beberapa ta’rif yang dibuat oleh beberapa tokoh terdiri daripada Ibn Taimiyyah[6], al-Syatibi, Ibn Rajab dan al-Sayuti rahimahumullah, menyimpulkan bahawa ta’rif al-Syatibi adalah yang paling terpilih[7]. al-Syatibi mena’rifkan bid‘ah sebagai:[8]
طريقة في الدين مخترعة تضاهي الشرعية يقصد بالسلوك عليها المبالغة في التعبد لله سبحانه
Jalan yang direka di dalam agama, yang menyerupai syariah, tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Huraian al-Imam al-Syatibi Terhadap Ta’rif Bid‘ah
al-Imam al-Syatibi rahimahullah setelah memberikan ta’rif ini, tidak membiarkan kita tertanya-tanya maksudnya, sebaliknya beliau sendiri telah menghuraikan maksud ta’rif ini. Di sini dinyatakan beberapa poin penting huraian al-Imam al-Syatibi:
Pertama:
Dikaitkan jalan (طريقة) dengan agama kerana rekaan itu dilakukan dalam agama dan perekanya menyandarkan kepada agama. Sekiranya jalan rekaan hanya khusus dalam urusan dunia ia tidak dinamakan bid‘ah, seperti membuat barangan dan
Tidak dinamakan bid‘ah segala rekaan dan ilmu yang berkhidmat untuk syariat. Segala ilmu ini sekalipun tiada pada zaman yang awal, tetapi asas-asasnya ada dalam syarak.
Ini kerana ciri khas bid‘ah ialah ia terkeluar daripada apa yang digariskan oleh al-Syari’. Dengan ikatan ini maka terpisahlah (tidak dinamakan bid‘ah) segala yang jelas – sekalipun bagi orang biasa – rekaan yang mempunyai kaitan dengan agama seperti ilmu nahu, saraf, mufradat bahasa, Usul al-Fiqh, Usul al-Din dan segala ilmu yang berkhidmat untuk syariat. Segala ilmu ini sekalipun tiada pada zaman yang awal, tetapi asas-asasnya ada dalam syarak.
Justeru itu, tidak wajar sama sekali dinamakan ilmu nahu dan selainnya daripada ilmu lisan, ilmu usul atau apa yang menyerupainya yang terdiri daripada ilmu-ilmu yang berkhidmat untuk syariat sebagai bid‘ah. Sesiapa yang menamakannya bid‘ah, sama ada atas dasar majaz (bahasa kiasan) seperti ‘Umar bin al-Khattab radhiallahu 'anh yang menamakan bid‘ah solat orang ramai pada malam-malam Ramadhan, atau atas dasar kejahilan dalam membezakan sunnah dan bid‘ah, maka pendapatnya tidak boleh dikira dan dipegang.[9]
Kedua:
Maksud (تضاهي الشرعية) ialah menyerupai jalan syarak sedangkan ia bukanlah syarak pada hakikatnya. Bahkan ia menyanggahi syarak dari beberapa sudut:
· Antaranya: Meletakkan batasan-batasan[10] seperti seseorang yang bernazar untuk berpuasa berdiri tanpa duduk, berpanas tanpa berteduh, membuat keputusan mengasing diri untuk beribadah, menghadkan makanan dan pakaian dari jenis tertentu tanpa sebab.[11]
· Antaranya: Beriltizam dengan cara (kaifiyyat كيفيات ) dan bentuk (haiat هيئات ) tertentu.[12] Ini seperti zikir dalam bentuk perhimpunan dengan satu suara, menjadikan perayaan hari lahir Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan seumpamanya.
· Antaranya: Beriltizam dengan ibadah tertentu dalam waktu tertentu sedangkan tidak ada penentuan tersebut dalam syarak. Ini seperti beriltizam puasa pada hari Nisfu Sya’ban dan bersolat pada malamnya[13] .
Kemudian bid‘ah-bid‘ah tersebut disamakan dengan perkara-perkara yang disyariatkan. Jika penyamaan itu adalah dengan perkara-perkara yang tidak disyariatkan maka ia bukan bid‘ah. Ia termasuk dalam perbuatan-perbuatan adat kebiasaan.[14]
Ketiga:
Maksud (يقصد بالسلوك عليها المبالغة في التعبد لله): “Tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah” ialah menggalakkan ibadah. Ini kerana Allah berfirman:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. [al-Zariyat 51:56]
Seakan-akan pembuat bid‘ah melihat inilah tujuannya. Dia tidak tahu bahawa apa yang Allah tetapkan dalam undang-undang dan peraturan-peraturan-Nya sudah memadai.[15]
Seterusnya al-Imam al-Syatibi menjelaskan:
Telah jelas dengan ikatan ini (yang dijelaskan) bahawa bid‘ah tidak termasuk dalam adat. Apa sahaja jalan yang direka di dalam agama yang menyerupai perkara yang disyariatkan tetapi tidak bertujuan beribadah dengannya, maka ia terkeluar dari nama ini (bid‘ah).[16]
Kesimpulan Ta’rif al-Imam al-Syatibi
Daripada apa yang dita’rifkan dan dihuraikan oleh al-Imam al-Syatibi rahimahullah, dapat dibuat beberapa kesimpulan:
1. Bid‘ah ialah jalan syarak yang baru di reka dan dianggap ibadah dengannya. Adapun membuat perkara baru dalam urusan dunia tidak boleh dinamakan bid‘ah.
2. Bid‘ah ialah sesuatu yang tidak ada asal dalam syariat. Adapun apa yang ada asalnya dalam syariat tidak dinamakan bid‘ah.
3. Ahli bid‘ah menganggap jalan, bentuk, cara bid‘ah mereka adalah satu cara ibadah yang dengannya mereka mendekatkan diri kepada Allah.
4. Bid‘ah kesemuanya buruk. Apa yang dinamakan Bid‘ah Hasanah yang membabitkan perkara-perkara duniawi bukanlah bid‘ah pada istilahnya.
[1] Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab, jld. 8, m.s. 6.
[2] al-Razi, Mukhtar al-Sihah, m.s. 38.
[3] al-Mu’jam al-Wajiz, m.s. 40.
[4] Beliau ialah Abu Ishaq Ibrahim bin Musa al-Gharnati (الغرناطي) Tokoh Andalus yang agung, bermazhab Malik. Seorang muhaddith, faqih (ahli fekah) dan usuli (ahli usul fekah). Mengarang beberapa buah kitab yang agung. Kitab beliau al-Muwafaqat (الموافقات) menjadi rujukan utama dalam ilmu usul al-Fiqh. Bahkan beliau dianggap paling cemerlang dalam mengemukakan perbincangan Maqasid al-Syara’. Demikian juga kitab al-I’tishom ini mendapat pengiktirafan yang besar.
[5] Sesuatu ta’rif yang baik hendaklah yang jami’ lagi mani’. Jami’ bermaksud ia menghimpunkan unsur-unsur utama dalam ta’rif, sementara mani’ bermaksud ia menghalang unsur-unsur yang tidak berkaitan masuk ke dalamnya.
[6] Berkata al-Imam al-Sayuti (w 911H): “Ibn Taimiyyah: seorang syaikh, imam, al-`allamah (sangat alim), hafizd (dalam hadith), seorang yang kritis, faqih, mujtahid, seorang penafsir al-Quran yang mahir, Syaikh al-Islam, lambang golongan zuhud, sangat sedikit sepertinya di zaman ini, …salah seorang tokoh terbilang …memberi perhatian dalam bidang hadith, memetik dan menapisnya, pakar dalam ilmu rijal (para perawi), `illal hadith (kecacatan tersembunyi hadith) juga fiqh hadith, ilmu-ilmu Islam, ilmu kalam dan lain-lain. Dia daripada lautan ilmu, daripada cendikiawan yang terbilang, golongan zuhud dan tokoh-tokoh yang tiada tandingan.”(al-Imam al-Sayuti, Tabaqat al-Huffaz, m.s. 516).
[7] Dr. Ibrahim ‘Amir al-Ruhaili, Mauqif Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah min Ahl al-Ahwa wa al-Bida’, jld. 1, m.s. 90-92.
[8] al-Syatibi, al-I’tishom, m.s 27.
[9] al-I’tishom, m.s.27-28.
[10] Maksudnya batasan-batasan yang tidak diletakkan oleh syariat.
[11] Ini seperti jamaah tertentu pada zaman kini, dimana di kalangan mereka ada yang menganggap pakaian fesyen baju negeri atau bangsa tertentu seperti kurta
[12] Maksudnya yang tiada dalil syarak.
[13] Saya menambah, terdapat sebuah hadith yang sahih mengenai kelebihan Nisfu Sya’ban, iaitu hadith:
طلع الله إلى خلقه في ليلة النصف من شعبان فيغفر لجميع خلقه إلا لمشرك أو مشاحن.
Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Sya’ban, maka Dia ampuni semua hamba-hamba-Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuhan (orang benci membenci). Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain. al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Shahihah, jld. 3, m.s. 135. Namun hadith ini tidak mengajar kita untuk melakukan apa-apa amalan pada malam berkenaan seperti yang dilakukan oleh sesetengah masyarakat. Justeru para ulama seperti al-Imam al-Syatibi membantahkan amalan-amalan khas yang dilakukan pada malam tersebut.
[14] al-Syatibi, al-I’tishom, m.s. 28.
[15] al-I’tishom, m.s. 29.
[16] al-I’tishom, m.s. 30.
No comments:
Post a Comment