Tuesday, February 27, 2007

Hakikat Holy Water

Hakikat Holy Water

Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Maha Pengasih.

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah s.w.t kerana dengan izin-Nya kita masih dapat menikmati pelbagai ni'mat terutama ni'mat Islam dan Iman.Di malam Ramadhan ini terdetik di hati saya untuk mengungkai persoalan berkenaan Holy Water setelah mendapat maklumat bahawa perkara iniditimbulkan kembali setelah menyepi buat seberapa ketika. Mungkin telah ramai yang mendengar tentang Holy Water dan keajaibannya dalam menyesatkan orang-orang Islam. Kisah-kisah ini telah banyak disebarkan melalui e-mail secara meluas dan melalui ceramah-ceramah agama yang diadakan. Hampir kesemua umat Islam di negara ini tahu dan mempercayai kisah ini.Walaubagaimanapun, terdapat beberapa keraguan tentang beberapa fakta di dalam kisah ini. Di sini saya ingin membawa anda semua untuk mengkaji tentang kesahihan kisah ini dari beberapa sudut.

Hikayat paderi besar Sabah

Kepada sesiapa yang pernah membaca artikel berkenaan seorang bekas paderi besar negeri sabah [1], sudah tentunya akan mempercayai kisah ini. Namun di dalam kisah ini terdapat beberapa perkara yang benar dan beberapa perkara yang tidak benar juga beberapa perkara yang saya tidak pasti berkenaan kesahihannya (kerana pertama kali mendengar tentangnya). Di sini saya akan menerangkan beberapa kesalahan yang terdapat di dalam artikel ini.

Roman Chatolic Church atau St. Mary Chatolic Church? Father atau Pastor?

SEMASA Kristian saya dikenali sebagai Paderi Thomas Laiden. Saya berasal dari Sabah dan berketurunan Solok. Agama asal saya ialah Roman Katholik. Saya mendapat pendidikan di Seminary Kepaderian Vantiken Itali iaitu institusi kepaderian terulung di Itali dan dibiayai oleh Persatuan Kristian Sabah. Saya tamat pengajian pada tahun 1985 seterusnya bertugas sebagai paderi di Vantiken. Seterusnya saya memohon untuk kembali ke negara asal saya iaitu Sabah.

Pada tahun 1988 saya ditukarkan ke
Sabah dan berkhidmat sebagai paderi. Saya bertugas di Gereja St. Mary, Persatuan Gereja Roman Katholik Sabah seluruh Sabah yang berpusat di Kota Kinabalu.

Catholic bermaksud "Universal". Roman Catholic bermaksud Christian yang universal dan berpusat di Roman. Gereja-gereja Roman Catholic akan di sebut Catholic Church. Dan di Catholic Church, paderi akan di panggil dengan gelaran "father". Berbeza dengan di gereja-gereja dormination yang lain, paderi digelar dengan gelaran "pastor". Di dalam Christian, agama Christian terbahagi kepada dormination-dormination. Dan untuk Chatolic Church juga terdapat 23 Chatolic Church. Namun cuma satu sahaja yang bergelar Roman Chatolic Church. Dan cuma paderi Roman Chatolic sahaja yang tidak dibenarkan berkahwin dan bergelar father. Chatolic Chruch yang lain akan bergelar pastor dan dibenarkan untuk berkahwin.

Jika kita lihat pengakuan Paderi Thomas Laiden ialah dia mengaku penganut kepada Roman Katolik tetapi bertugas di Gereja St. Mary.Jika kita search di internet, dan akan mendapati St. Mary Church adalah "St. Mart's Catholic Church"[2] dan ia bukan salah satu daripada Roman Chatolic Church. Jika kita lihat organisasi St. Mary church, paderi mereka disebut sebagai "pastor". Begitu juga dengan church-church lain yang meletak nama 'Catholic'. Contohnya Aglican Catholic Church

Lebih-lebih lagi apabila paderi Thomas Laiden mengakui sebagai "Roman Catholic". Ini menunjukkan Father Thomas Laiden bukanlah seorang penganut Roman Chatolic.[3]

Kedudukan Paderi di dalam hieraki church

Saya katakan pada Paul yang ulamak Kristian itu pembohong. Dia terkejut lalu berkata,"Thomas, kamu telah dihantar hingga ke peringkat tertinggi untuk menjadi paderi, kenapa kamu berkata demikian.Cuba kamu jelaskan kenapa kamu kata agama Kristian pembohong".

Ayat "..untuk menjadi paderi" seolah-olah paderi itu adalah kedudukan yang tinggi di dalam heiraki didalam Christianity. Kedudukan Paderi (priest) di dalam Hieraki Catholic Churh sebenarnya bukanlah kedudukan yang tinggi. Kedudukan tertinggi ialah jawatan Pope dan diikuti dengan Cardinal yang bertugas sebagai pembantu pope di seluruh dunia. Kemudian di ikuti oleh Archbishop dan Bishop. Dan Bishop di bantu oleh Priest dan Deacons. Ini menunjukkan bahawa kedudukan paderi di dalam hieraki Roman Chatolic Church bukanlah kedudukan yang tinggi.[4]

Tiada aqidah tetapi dapat mengucap

Ia diperolehi dari proses uzlah yang dijalani sebelum menjadi paderi. Jika tidak mempunyai akidah yang benar-benar kuat, akidah boleh rosak disebabkan air ini. Contohnya ialah seperti apa yang berlaku ke atas seorang doktor perempuan Melayu di Selangor. Setelah minum, beliau langsung tidak boleh mengucap, hatinya telah tertutup. Menurutnya beliau sudah tidak yakin lagi dengan agama lain kecuali Kristian sahaja Kerana melalui Kristian beliau boleh melihat Tuhan Jesus yang turun setiap malam.

Berdasarkan statement di atas, seseorang yang tidak mempunyai aqidah yang benar-benar kuat,akan terpengaruh dengan kuasa holy water ini dan tidak akan dapat mengucapkan syahadah. Menjadi satu persoalan bagaimanakah Paderi Thomas Laiden yang telah meminum Holy Water ketika dia tidak ada langsung akidah dapat mengucap syahadah dan memeluk Islam? Begitu juga dengan beberapa paderi-paderi lain yang akhirnya memeluk islam. Jika air ini dapat membuatkan seseorang itu tidak dapat mengucap, bagaimanakah orang-orang Christian dapat memeluk islam?

Perkataan Kristian di dalam Bible dan adakah Bible itu Injil?

Di dalam semua kitab tidak ada mengenai agama Kristian. Kristian ini baru sahaja berkembang oleh seorang Paul yang pertama di zaman Julius kemudian beliau mengembangkannya. Asal agama Kristian ialah dari agama Yahudi dan Nasara. Tetapi di Romawi ia dinamakan Kristianisasi. Jika kita meneliti di dalam kitab Nabi Isa (Injil) tidak ada disebut Kristian. Sebenarnya semua mubaligh Kristian tahu mengenai kedudukan agama Islam.

Apakah yang dimaksudkan sebagai Kitab Nabi Isa(Injil)? Adakah Injil itu Bible? Perkataan Bible adalah berasal daripada perkataan Greek iaitu Biblos yang bermaksud Library of Books. Dan Bible sepatutnya disebut Al-Kitab(walaupun istilah al-Kitab juga masih kurang tepat) dan bukannya Injil. Kerana apabila kita mengatakan Bible adalah Injil, maka kita wajib beriman kepada Bible tersebut kerana beriman pada kitab-kitab adalah salah satu daripada rukun Islam. Adakah Bible itu adalah Injil yang diseleweng? Jika kita membaca Bible, ia sebenarnya di tulis oleh manusia-manusia yang dikatakan mendapat ilham (inspiration) daripada Holy Spirit (salah satu daripada Trinity).

Berbalik kepada artikel, jika dirujuk didalam Bible pada hari ini, memang terdapatnya perkataan Christian namun gelaran ini bukanlah diberikan oleh Jesus a.s sendiri dan tidak wujud semasa Jesus a.s ada di muka bumi ini.

Acts 11:26 "and when he found him, he brought him to Antioch. So for a whole year Barnabas and Saul met with the church and taught great numbers of people. The disciples were called Christians first at Antioch."

Makanan yang diimport

Saya jelaskan kepadanya, apabila semua paderi memakan Khusti Kudus (sejenis makanan yang diimport khas dari Itali) bermakna itu satu penghinaan kerana tubuh tuhan boleh dimakan.

Upacara memakan tubuh tuhan sebenarnya berdasarkan pada verse di dalam Bible iaitu

Matthew 26:26-27"While they were eating, Jesus took bread, gave thanks and broke it, and gave it to his disciples, saying, "Take and eat; this is my body." Then he took the cup, gave thanks and offered it to them, saying, "Drink from it, all of you. This is my blood of the covenant, which is poured out for many for the forgiveness of sins."

Makanan yang dimakan itu sebenarnya adalah roti yang dibuat tanpa yis. Roti ini boleh dibuat di mana-mana sahaja dan bukanya diimport khas daripada Itali. Cuma menjadi syarat supaya roti yang dibuat itu tidak boleh dicampurkan dengan yis.

Rukun yang kedua pula iaitu Ekaristi Maha Kudus bermaksud memakan tubuh Tuhan. Saya pernah berhujah dengan John Paul mengenainya. Saya katakan padanya sedangkan Firaun yang zalim itupun tidak pernah memakan tubuh tuhan kenapa pula kita sebagai ulamak Kristian boleh makan tubuh tuhan?.

Sudah tentu Firaun tidak akan memakan tubuh tuhan, kerana dia menganggap dirinya sebagai tuhan.

Nama Nabi Muhammad s.a.w di Bible

Pernah terjadi dalam tahun '78, semasa itu saya terjumpa kitab yang menyatakan kebenaran Nabi Muhammad. Tetapi semasa itu saya tidak begitu memperdulikannya. Di dalam kitab tersebut ada menyebut mengenai Ahmad iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Statement di atas menunjukkan seolah-olah terdapatnya satu versi Bible khas yang menyebut tentang Nabi Muhammad dan perkara ini tiada di dalam mana-mana Bible yang lain. Sebenarnya perkataan "Muhammad" boleh di dapati di dalam mana-mana Bible sahaja yang kita dapat diperolehi. Namun, untuk menemui perkataan 'Muhammadim" ayat tersebut perlu dibaca di dalam bahasa Hebrew. Kerana itulah kita tidak mengetahui di mana ayatnya di dalam Bible, kerana Bible yang senang diperolehi hari ini adalah dalam bahasa English. Perkataan 'Muhammad" boleh didapati di dalam Song of Solomon 5:16 di mana jika dibaca di dalam bahasa hebrewnya...

"Hikko Mamittakim we kullo Muhammadim Zehdoodeh wa Zehraee Bayna Jerusalem."

dimana 'im' itu adalah kata jamak penghormatan di dalam bahasa Hebrew. Perkataan Muhammadim juga bermaksud 'altogether lovely'. Oleh itu di dalam Bible bahasa English pada hari ini, ia berbunyi:

"His mouth is most sweet: yea, he is altogether lovely. This is my beloved, and this is my friend, O daughters
of Jerusalem."

Ini berlaku apabila nama seseorang diterjemah secara literal kepada maksudnya. contohnya, kita menterjemah nama Mr. Black (English) kepada encik hitam (bahasa melayu). Kerana itulah kita tidak dapat menjumpai perkataan "Muhammad" di dalam Bible..Ini bertentangan dengan pernyataan yang dikeluarkan oleh Paderi Thomas Laiden yang menyatakan seolah-olah dia telah menjumpai satu Bible khas yang ada menyebut tentang Nabi Muhammad s.a.w.

Manuscript asal Bible dalam bahasa 'Hebron'?

Saya mengambil kitab itu dan menyembunyikannya. Kitab tersebut ditulis di dalam bahasa Hebron. Ia masih saya simpan hingga ke hari ini dan saya dalam proses untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu

Ramai yang menyimpan sangkaan bahawa Bible yang asal adalah berbahasa Hebrew, begitu juga saya sebelum mempelajari tentang Chistianity. Sebenarnya Bible terbahagi kepada 2 bahagian, iaitu Perjanjian Lama (Old Testement) dan Perjanjian Baru( New Testement) dimana Perjanjian Lama juga di sebut Hebrew Bible kerana di manuscript asalnya berbahasa Hebrew dan Perjanjian Baru pula juga disebut Greek Bible kerana manuscript asalnya ditulis dalam bahasa Greek. dan cuma terdapat 2 buku didalam Bible (iaitu Book of Ezra dan Book of Danial )ditulis di dalam bahasa aramaik (iaitu bahasa arab kuno). Mungkin juga Bible yang di jumpai oleh Paderi Thomas Laiden sebenarnya adalah Bible dalam bahasa Hebron, tetapi itu bukanlah Bible yang sebenar kerana manuscript tertua Bible yang boleh didapati adalah menjangkaui kepada ribuan bilangannya.

Trinity di dalam Christiantity

Pada suatu malam Ahad pada tahun 1991, saya bersembahyang dengan cara Kristian) di hadapan tuhan-tuhan saya iaitu. Tuhan Bapa, Ibu Tuhan (Mary) dan Anak Tuhan (Jesus Christ).

Di sini jelas yang Paderi Thomas Laiden telah terkeliru di dalam konsep ketuhanan Christian. Christian bukanlah menyembah kepada 3 tuhan mahupun pada satu tuhan, tetapi menyembah tuhan dalan konsep Trinity.Di dalam konsep Trinity, orang kristian mengakui bahawa tuhan itu adalah tunggal tetapi di dalam bentuk tiga. Dan unsur di dalam Trinity ialah Father, Son (Jesus), and The Holy Spirit (Ruhulkudus) dan bukanya ibu tuhan atau Mary.Hal ini jelas bagi sesiapa sahaja yang beragama Christian pada hari ini walaupun mereka cuma penganut biasa.

Komposisi Trinity disebut di dalam Bible di dalam book of 1st John chapter 5 verse 7 :

1JOHN 5:6 "For there are three that bear recorded in heaven, the Father, the Word, and the Holy Ghost: and these three are one."

"Word" adalah nama lain yang merujuk pada Jesus a.s dan "Holy Ghost" adalah nama yang digunakan untuk Holy Spirit didalam Bible King James Version. Namun verse ini telah dikeluarkan di dalam version Bible yang baru dan didalam Revised Standart Version mengatakan verse ini tidak ditemui di dalam manuscript asal.

Kebenaran di dalam kisah ini

Seperti yang saya katakan, tidak semua yang dikatakan di dalam artikel ini adalah salah dan tidak benar. Penganut Christian memang percaya tentang dosa warisan seperti mana yang di sebut di dalam artikel tersebut.

Bagi kepercayaan Kristian setiap bayi yang baru lahir wajib dibaptiskan kerana ia mempunyai dosa, ia menyimpan dosa pusaka yang ditinggalkan datuk moyang mereka. Ia berlainan dengan Islam, Islam meletakkan bayi yang baru lahir itu adalah dalam keadaan fitrah (bersih).

Walaubagaimana pun, "datuk moyang mereka" yang dimaksudkan sebenarnya adalah dosa yang dilakukan oleh Adam dan Eve(Hawa) kerana memakan buah khuldi. Atas perbuatan inilah semua manusia menanggung dosa warisan. Namun, perkara ini cuma dari sudut persepsi Christian sahaja. Di dalam Islam, kita percaya selepas Adam dan Hawa di hantar ke bumi, mereka telah bertaubat dan taubat mereka telah diterima Allah

Saya juga menyokong pandangan penulis tentang suasana orang islam sekarang iaitu:

Bagi pandangan saya, saya lihat orang Islam agak susah untuk bersatu. Masing-masing mempunyai fikrah yang berbeza dan hidup dalam kelompok sendiri. Kadangkala di kalangan orang Islam sendiri bergaduh. Ini berlainan dengan orang Kristian yang amat menitikberatkan soal kebajikan. Namun bukan semua orang Islam begitu, masih ramai di kalangan mereka yang bijak.


Hakikat Holy Water

Sejauh yang saya pelajari, Holy Water ini sebenarnya cumalah air biasa yang didoakan oleh paderi. Dan air ini hanya boleh diminum oleh pengikut gereja tersebut sahaja.

Beberapa logik berkenaan Holy Water

Holy Water sebagai senjata perang

Jika kita percaya yang Holy Water ini dapat menyebabkan seorang muslim murtad dan menganut Christian, sudah pastilah ini menjadi senjata utama di dalam menghadapi orang islam. Dan tidak perlulah Amerika Syarikat membelanjakan beribu-ribu dolar untuk membuat senjata-senjata dan tidak perlulah menghantar beribu-ribu tenteranye ke Palestin, Afganistan , Iraq dan negara-negara lain. Apa yang perlu di lakukan ialah menyalurkan Holy Water ke dalam bekalan air paip mereka sahaja sudah cukup untuk meng'christian'kan seluruh negara dan menakluk negara tersebut.

Hasad dengki terhadap perniagaan orang lain

Kita sering mendapat email dan maklumat berkenaan air jenama sekian-sekian adalah air Holy Water dan ramai meminumnya telah murtad. Sebahagian (dan rasanya kebanyakkannya) adalah air yang berjenama dengan nama Islam. Tidakkah kita terfikir kisah ini di reka-reka untuk menjatuhkan perniagaan orang lain? Khususnya perniagaan orang Islam itu sendiri

Bekas Paderi dan Penganut Christian dapat memeluk Islam

Sudah tentu menjadi tanda tanya kepada kita bagaimanakah orang-orang Christian masih dapat memeluk Islam walaupun telah meminum Holy Water ini. Lebih bertambah pelik lagi apabila paderi-paderi yang telah berbelas-belas tahun meminum dan membuat air ini juga masih dapat memeluk Islam tetapi orang Islam yang meminum air ini tidak dapat mengucapkan syahadah lagi. Bagaimana ini terjadi?

Pendekatan Dakwah dan Islah di dalam Islam

Di sini, saya bukanlah ingin menyokong agama Christian, tetapi cuma ingin menyedarkan umat islam supaya mengadakan dakwah dan islah yang benar dan tidak melakukan sesuatu yang terlarang. Matlamat tidak menghalalkan cara. Tambahan pula, dengan pendustaan yang dilakukan hanya akan membawa lebih banyak keburukan kepada imej Islam itu sendiri. Walaupun kita seharusnya berdakwah kepada manusia, dan berpesan-pesan sesama muslim, namun ini tidak bermakna kita dibolehkan untuk membuat pembohongan hatta kepada agama lain.

Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang tepat (benar dalam segala perkara). [Surah al-Ahzaab:70]

Sebenarnya yang tergamak berdusta itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah dan mereka itu ialah orang-orang yang bertabiat berdusta.[surah An-Nahl : 105]

Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan, manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu. [Al-An'aam:112]

"Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." [Surah Al-'Asr : 3]

Kita disuruh berpesan-pesan dengan kebenaran dan bukanlah dengan pembohongan semata.dan bukankan telah diingatkan kepada kita bahawa fitnah itu lebih bahaya daripada membunuh?

"...fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan..." [Surah Al-Baqarah:191]

hal ini disebut lagi dalam ayat..

...Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjidilharam (di Mekah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati) ...[Surah Al-Baqarah:217]

Hadis Huzaifah r.a katanya:
Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak masuk Syurga orang yang suka menabur fitnah [Sahih Muslim]

dan janganlah kita suka menghebah-hebahkan perkara yang tidak benar.

Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). [Surah An-Nuur:19]

Jika sampai satu perkara, siasatlah terlebih dahulu...

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. [Surah al-Hujurat:6]

Dakwah secara hikmah

Bukankah kita dituntut agar berdakwah secara berhikmah dan sekiranya ianya melibatkan agama lain, kita tidak dibenarkan untuk menghina atau mencaci agama lain.

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk. [Surah an-Nahl:125]

Dan janganlah kamu memaki benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan memaki Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. [al-An'aam:108]

Impak daripada pendustaan terhadap Christianity

Seperti yang saya katakan sebelum ini, atas pendustaan terhadap agama lain hanya akan membawa lebih banyak keburukan kepada agama kita. Di sebabkan kisah ini, telah ramai penganut Christian mempunyai tanggapan buruk terhadap Islam. Seperti menganggap muslim kebanyakkannya adalah pendusta, suka bersangka-sangka, menggunakan tektik kotor untuk menghalang umat Islam daripada mendapat "kebenaran" Jesus dan lain-lain lagi. Kesannya, lebih banyak salah tanggapan terhadap Islam, dan semakin susah untuk kita menarik hati dan berdakwah kepada mereka.

Kesannya bukan sahaja kepada penganut Christian, malah juga kepada orang Islam, terutamanya yang jauh daripada Islam. Apabila mereka mengkaji kebenaran berkenaan Holy Water ini dan mendapatinya adalah palsu, akan timbul salah tanggapan di fikiran mereka terhadap Islam. Dan jika mereka bertanya kepada penganut Christian, dan kemudia penganut Christian menjawabnya dengan sangat berhikmah, ada kemungkinan untuk mereka tertarik kepada agama Christian.

Selain itu, dengan kisah ini, akan timbul suatu perasaan takut dan yakin bahawa Holy Water ini mempunyai kuasa luar biasa yang dapat mendorong seseorang kepada syirik kepada Allah. Di mana dosa syirik adalah dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah , kecuali bertaubat.

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya) dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar. [Surah an-Nisaa':48]

Teknik kotor missionaries Christian

Selain daripada Holy Water (yang telah di dapati satu pembohongan) , terdapat beberapa lagi tektik kotor yang dikatakan digunakan oleh missionaries Christian.

Menggunakan rupa paras

Salah satu tekniknya adalah dengan menghantar lelaki yang kacak untuk memikat muslimah kita dan gadis cantik untuk memikat muslimin kita. Dan mereka akan memujuk orang Islam tersebut untuk menganuti Christian jika mahu berkahwin dengan mereka. Kita seringkali menganggap teknik ini adalah sesuatu teknik yang kotor, namun tahukah anda 90% pendaftaran baru orang bukan Islam memeluk Islam di negara ini adalah melalui perkahwinan? Dan "teknik kotor" yang kita fikir ini sebenarnya telah dipraktikkan oleh orang Islam sejak berzaman.

Menggunakan harta

Diantara teknik yang lain ialah memberi ganjaran kepada sesiapa yang menukar agama mereka kepada Christianity. Dan bukankah ini bersamaan dgn sunnah Rasulullah s.a.w yang memberikan pertolongan dan zakat kepada mualaf?

Hadis Abdullah bin Zaid r.a
Rasulullah s.a.w telah membahagikan harta rampasan perang setelah memenangi Peperangan Hunain kepada orang-orang yang ingin dijinakkan hatinya iaitu baru saja memeluk Islam agar tetap dengan keislamannya... [Sahih Muslim] (kitab zakat)

Kesimpulan

Saya bukanlah ingin mengatakan Islam juga telah menggunakan teknik kotor. Tetapi ingin membuang persepsi buruk terhadap orang lain kerana tuduhan-tuduhan seperti ini akan berbalik kepada kita sendiri. Bagi seseorang yang berasa di tangannya ada kebenaran dan ingin berkongsi kebenaran itu dengan orang lain, sudah pasti tidak akan menggunakan tektik yang kotor, tetapi cara yang berhikmah.

Penganut Christian menganggap mereka telah menemui kebenaran dan mereka ingin berkongsi kebenaran itu dengan orang lain. Maka mereka menyebarkan 'dakwah' mereka kepada semua. Sedangkan umat Islam yang telah benar-benar menemui kebenaran,tetapi masih enak dibuai tidur yang lena. Agama Nasrani bukanlah agama dakwah, tetapi merekalah yang paling kuat melakukan "dakwah". Islam adalah agama dakwah, tetapi kitalah yang paling kurang berdakwah.

Kadang-kadang kita marah kepada mereka, sedangkan kita tidak melakukan apa-apa kerja. Dan apabila kita di datangi oleh orang-orang yang bertanya tentang Islam, kita tidak mahu menyampaikan risalah Islam pada mereka. Oleh itu saya menyeru kepada semua supaya kita mula bekerja dan menyebarkan risalah Allah dengan cara yang lebih bersih dan berhikmah.

Semoga dengan artikel ini, dapat di perjelaskan tentang pendustaan ini dan dapat memberi ikhtibar kepada kita supaya kita lebih berhati-hati di masa hadapan. Saya memohon keampunan daripada Allah s.w.t daripada segala kesalahan yang saya lakukan. Dan saya menarik balik segala kata-kata saya jika ianya di dapati tidak benar atau tidak tepat semasa saya hidup mahupun telah mati.

Wallahu'alam.


1. http://www.tranungkite.net/modules.php?name=News&file=article&sid=1492

2. http://www.stmaryschurch.org/main.asp?a=1

3. http://en.wikipedia.org/wiki/Roman_Catholic_Church

4. http://en.wikipedia.org/wiki/Roman_Catholic_Church#The_Hierarchical_Constitution_of_the_Church

Artikel lain menjawab tentang Holy Water, http://www.tranungkite.net/modules.php?name=News&file=comments&sid=1492&tid=1471&mode=&order=&thold=

No comments: